KUALA LUMPUR: Pelakon, Amerul Affendi, 39, mengakui sehingga kini tidak tahu mengapa dirinya tidak pernah diberikan watak bercinta atau romantis oleh mana-mana pengarah dan penerbit tanah air.
Menurut Amerul, sepanjang 17 tahun perjalanan kerjaya seninya sebagai seorang pelakon, watak seperti itu tidak pernah diterimanya sekali gus membuatkan dirinya berasa hairan.
“Memang betul, dalam lakonan, saya tak dapat lagi karektor lelaki sedang bercinta. Kalau ada pun sebelum ini, telefilem. Tapi itu bukan genre romantik sebab ia lebih kepada kekeluargaan.
“Saya pun tak tahu kenapa. Mungkin itu antara cabaran saya agaknya sebagai seorang pelakon.
“Ia membuatkan saya rasa lagi nak cabar diri untuk melakonkan watak begitu,”katanya.
Amerul berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana Filem Martabat: Misi Berdarah di GSC Midvalley Mall, di sini, semalam.
Terdahulu, Amerul ada membuat perkongsian di sebuah podcast baru-baru ini dan menyatakan bahawa dia tidak pernah ditawarkan naskhah berkonsep romantis.
Malah, menerusi perkongsian tersebut, pemenang Anugerah Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia ke-27 ini turut memberitahu dia tidak kisah seandainya diberi watak bercinta dengan hantu.
Memintanya mengulas mengenai perkara itu, Amerul berkata, dia sememangnya tidak kisah andai diberi peranan bergandingan dengan heroin ‘hantu’.
“Memang saya akuinya, dengan heroin hantu pun boleh. Manalah tahu kalau ada pengarah nak panggil saya berlakon watak bercinta tapi dengan heroin ‘hantu’. Saya boleh.
“Sebab berlakon ini hobi untuk saya. Bila sebut hobi, pastinya kita akan buat dengan bersungguh-sungguh,”katanya.
Dalam pada itu, Amerul yang merupakan pelajar
ijazah sarjana seni persembahan secara APEL Q di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), turut meluahkan rasa sedih dan simpati terhadap kemalangan bas yang mengorbankan 15 pelajar universiti yang sama baru-baru ini.
“Saya turut berdukacita dengan apa yang terjadi kepada pelajar-pelajar UPSI terbabit. Apa yang terjadi, soal maut, jodoh, Tuhan yang tentukan.
“Tetapi kita sebagai hamba-Nya kena berusaha untuk mengelak perkara-perkara begitu terjadi. Saya membaca berita itu pun turut terkesan walaupun bukan pelajar sepenuh masa di UPSI,”katanya.