KUALA LUMPUR : Pelakon kelahiran Indonesia, Yayan Ruhian, 57, mengakui tidak gemar bersikap membanding-banding suasana kerja di mana-mana lokasi atau produksi yang dijayakannya.
Bagi pelakon aksi bertaraf antarabangsa ini, setiap orang atau tempat memberi peluang buatnya untuk menimba ilmu pengetahuan yang baharu daripada pelbagai sudut.
“Buat saya, segala sesuatu yang baharu itu adalah hal yang baharu dan menarik. Kerana, ketika saya menemukan hal baharu, ia memberikan peluang untuk saya belajar.
“Kita tidak perlu bicara bagaimana berbandingan kerja di Indonesia atau di Malaysia. Bahkan di Asia atau pun di industri Hollywood.
“Ini kerana Indonesia dengan cara mereka, di Malaysia dengan cara sendiri. Berbeza projek, beza karektor dan beza juga prosesnya,”katanya.
Bahkan kata Yayan, segalanya projek lakonan yang dijayakannya sentiasa memberikan satu pengalaman yang berharga buat dirinya sebagai seorang anak seni.
“Jumpa lain orang pastinya lain pula hal yang dibicarakan dan lain pula hal yang akan kita ambil dan dijadikan sebagai pengalaman
“Setiap yang saya jumpa itu, saya jadikan satu kesempatan untuk saya belajar sebab ada banyak lagi hal yang kita mungkin tidak tahu.
“Justeru saya amat berterima kasih kepada semua pihak yang mahu bekerjasama dengan saya dan kali ini bersama pasukan produksi filem Gayong. Banyak yang saya pelajari terutama daripada keluarga besar Gayong itu sendiri,”katanya.
Merupakan filem Malaysia keenam yang dijayakannya, Gayong bagi Yayan adalah naskhah yang istimewa kerana menganggap ketokohan anak tempatan yang tidak kurang hebatnya.
Menerusi filem ini, Yayan memegang watak Wak Kusang bersama bintang lain seperti Beto Kusyairy, Nabila Huda, Syafie Naswip dan ramai lagi.
Filem epik Gayong arahan Faisal Ishak dan terbitan Sol Pictures mengangkat kisah pengasas Silat Seni Gayong, Allahyarham Datuk Meor Abdul Rahman dengan bajet pembikinan kira-kira RM7 juta.
Filem ini memaparkan perjalanan hidup Allahyarham dalam mempertahankan maruah bangsa di gelanggang pertandingan dan kemudiannya bangkit mempertahankan tanah air ketika diancam kehadiran penjajah di Tanah Melayu.