KUALA LUMPUR : Pelakon, Nora Danish, menepis spekulasi bahawa dirinya bakal merujuk dengan bekas suami, Nedim Nazri.
Menyifatkan dakwaan itu sebagai satu salah faham, Nora atau nama sebenarnya, Nora Mohd. Danish Hanif, 42, berkata, keadaan itu berlaku mungkin kerana keakraban yang masih baik meski sudah tidak bergelar suami isteri.
“Saya baru dengar cerita ini hari ini. Mungkin keakraban kami yang buatkan orang keliru atau salah faham.
“Dia memang betul-betul ‘soulmate’ saya tetapi untuk rujuk kembali, tidak. Kami memang tak boleh bersama. Namun kami saling faham sesama sendiri,” ujarnya.
Nora berkata demikian ketika ditemui di majlis Pelancaran Amber Abaya di Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur, hari ini.
Selain itu, Nora turut menjelaskan, tiada langsung perancangan untuknya kembali bersama buat ketika ini.
Malah katanya, dia lebih selesa membiarkan hubungannya bersama Nedim kekal dalam keadaan yang harmoni memandangkan mereka pernah melalui fasa kehidupan berumah tangga selama lebih sedekad.
“Situasi kami adalah pernah hidup bersama dan memahami sesama sendiri dan itu sahaja, tidak lebih dari itu.
“Untuk dakwaan saya akan rujuk dengan bekas suami saya itu, saya sangkal dakwaan tersebut.
“Memang tiada langsung ura-ura rujuk, cuma kami selesa dengan keadaan hubungan kami ini,”katanya.
Dalam pada itu, mengulas soal jodoh, pelakon drama Puteri itu tidak menolak kemungkinan akan berkahwin semula.
Bagaimanapun, Nora menegaskan dia belum bersedia untuk kembali berumah tangga.
“Saya memang dalam fasa untuk mengenali diri dan mendekatkan diri dengan Allah. Dalam fasa itu, memang saya banyak mendekati juga golongan ustaz, habib, maulana untuk saya mengisi ruang hati saya yang kosong ini.
“Kalau ada yang mahu mendekati saya untuk berkahwin, memang ada. Cuma saya ada letakkan batasan bahawa saya masih belum bersedia untuk berkahwin.
“Fokus saya sekarang ini adalah untuk mengenali diri saya sahaja. Kalau Allah berikan saya jodoh, saya tak mahu terburu-buru dalam mengejar perkahwinan seterusnya hanya kerana saya sunyi,”katanya.
Nora dan Nedim Mohamad Nazri, 41, bercerai pada Jun lalu selepas tujuh tahun mendirikan rumah tangga.
Hasil perkahwinan, mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, 6.
Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram atau Jejai pada 20 Jun 2006 dan memiliki anak lelaki, Putra Rayqal, 15, sebelum bercerai pada 2008.