KUALA LUMPUR : Penyanyi dan pelakon popular Malaysia, Nabila Razali, mengakui sukar membuang perasaan gementar semasa berpeluang menaiki menara Taipei 101 ketika berada di Taiwan baru-baru ini.
Menurut Nabila, keadaan itu berlaku kerana ketika itu dia sedang hamil tiga bulan.
“Terus-terang, saya agak gementar ketika itu, tetapi dengan kawalan keselamatan yang ketat dan bantuan staf yang profesional, saya berasa lebih tenang.
“Keselamatan dan keselesaan memang diutamakan. Perasaan gementar itu juga bagaikan terhakis setelah berada di puncak dan saya dapat menikmati pemandangan yang menarik dari bangunan ikonik itu,”katanya.
Merupakan duta pelancongan negara itu, Nabila juga mengakui telah meraih banyak pengalaman menarik sepanjang menikmati percutiannya di Taiwan.
“Taiwan benar-benar ada semua yang anda cari. Bermula dengan aktiviti membeli-belah, makanan, aktiviti lasak seperti mendaki dan berkayak, sehinggalah ke pasar malam yang meriah.
“Bagi saya, setiap sudut Taiwan memberikan pengalaman yang berbeza dan sangat menyeronokkan. Tidak cuma itu, Taiwan juga menepati ciri halal. Saya sudah ke sana tiga kali, dan setiap kali saya kembali, saya rasa semakin dialu-alukan,”katanya.
Sementara itu, pameran Salam Taiwan telah berlangsung pada 18 sehingga 20 April lalu di Pavilion dengan menampilkan tiga personaliti terkenal Malaysia, Nabila Razali serta pempengaruh, Bajilah dan Elcah Hasha.
Ketiga-tiga mereka telah berkongsi sorotan peribadi dan destinasi tersembunyi pilihan mereka di Taiwan.
Lebih daripada sekadar pameran pelancongan, Pavilion Taiwan tahun ini menawarkan pengalaman interaktif dan praktikal yang membawa semangat sebenar Taiwan ke Malaysia.
Pameran itu memfokuskan tema berbeza iaitu
Tren Bandar, Alam & Pengembaraan, dan Pilihan Duta.
Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta Fair) tahun ini bukan sahaja peluang sempurna untuk mengenali Taiwan, malah titik permulaan untuk benar-benar merasai keindahannya, terutama menerusi ruang yang direka khas untuk pelancong Muslim agar dapat merapatkan hubungan dengan Taiwan.