MAWO ukir kejayaan di Konsert Desaku Mendunia - Utusan Malaysia

MAWO ukir kejayaan di Konsert Desaku Mendunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Kumpulan Maremaf Wind Orchestra (Mawo) terdiri daripada 59 pelajar Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mengukir kejayaan tersendiri apabila berupaya menjayakan Konsert Desaku Mendunia di Auditorium Seri Angkasa, kelmarin.

Ia sekali gus membuktikan bahawa bakat seni anak Felda mampu menyaingi kelas antarabangsa.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau menyaksikan sendiri persembahan hebat kumpulan orkestra tersebut semasa rakaman konsert itu berlangsung.

“Kumpulan MAWO ini akan mewakili negara dalam pertandingan orkestra berprestij di Prague, Republik Czech bersama peserta dari 11 negara lain.

“Ini merupakan satu manifestasi jelas bahawa pendidikan holistik dan pembangunan insaniah yang diterapkan di MRSM Felda mampu melahirkan anak bangsa bertaraf dunia baik dalam bidang akademik, keusahawanan dan seni muzik,” katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, disaksikan seramai 2,000 penonton di auditorium, persembahan MAWO turut diiringi oleh artis terkenal tanah air seperti Datuk Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang, Datuk Suhaimi Sulaiman dan ramai lagi.

Kumpulan MAWO yang telah menjalani latihan intensif di bawah bimbingan tenaga pengajar
berpengalaman bakal mengharumkan nama Malaysia apabila dijadualkan menyertai
pertandingan orkestra di Prague, Republik Czech.

Pertandingan tersebut menjadikan penglibatan MAWO sebagai satu pencapaian besar bukan sahaja buat MRSM Ulul Albab, tetapi juga buat FELDA secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, di majlis yang sama, Zahid turut menyempurnakan Pra-Pelancaran Mega Karnival 3 Dimensi (MK3D) yang akan berlangsung di MITEC, Kuala Lumpur.

Menurut beliau, MK3D adalah simbol kerjasama strategik antara agensi kerajaan yang bertujuan memperkasa komuniti luar bandar secara menyeluruh.

Karnival ini menggabungkan Karnival Usahawan Desa (KUD) di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) yang dikendalikan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Hari Peneroka FELDA 2025 anjuran FELDA.

Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa penganjuran besar-besaran ini akan mencetuskan lonjakan kepada potensi luar bandar sebagai pemacu ekonomi nasional.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN