Cik Bunga cuba husnuzon. Sebenarnya Cik Bunga agak was-was juga apabila perkhabaran mengenai penyanyi hebat, Dayang Nurfaizah dan Hael Husaini yang dikatakan bakal menamatkan zaman bujang bersama terpapar di pelbagai platform media massa.
Sedaya upaya Cik Bunga cuba hadam. Bukan apa, masih dalam keadaan percaya dan tidak, sebab masing-masing nampak macam tak serasi. Tetapi Cik Bunga tahu, siapalah kita untuk meletakkan persepsi seperti itu, kita bukan Tuhan.
Kalau benar memang dua-duanya saling berjodohan, iya, memang tak salah pun mereka bernikah.
Cuma, tak boleh nafikan, ramai juga rupanya orang seperti Cik Bunga yang tak percaya dengan kenyataan bahawa Dayang dan Hael nak kahwin, bakal jadi suami isteri.
Ramai dakwa mereka berdua ini sekadar ‘propa’. Dalam erti kata lain, berpura-pura sahaja nak kahwin itu. Tak dinafikan, susah kalau kita nak diamkan semua orang daripada terus berkata-kata hal yang mereka tidak pasti.
Iyalah, semua orang ada hak untuk bercakap, mengeluarkan pandangan. Cuma, Cik Bunga juga tak dapat nafikan ada juga dengar desas-desus mengenai sebab utama mengapa Hael dan Dayang ini pilih jalan untuk bernikah walaupun ramai orang tidak percaya dengan keputusan mereka ini.
Ada pelbagai tanggapan liar di belakang tabir, tetapi tak tergamaklah Cik Bunga nak kongsikan di sini sebab bendanya belum tentu benar atau salah.
Pun begitu, ketahuilah, di akhirnya, kita semua harus akur bahawa perkahwinan adalah satu perkara baik yang wajar diraikan.
Daripada kita bersangka itu dan ini, doakan sahaja agar urusan mereka berdua ini dipermudahkan. Betul tak?