KUALA LUMPUR : Penyanyi yang juga bekas isteri pengarah terkenal, Syamsul Yusof, Ira Kazar, mengakui bukan mudah untuk meneruskan kehidupan selepas melalui fasa sukar sebelum ini.
Menerusi satu hantaran di TikTok, Ira atau nama sebenarnya Faghirah Fatini Kazaruddin berkata, dia mengumpul sepenuhnya kepercayaan kepada diri sendiri untuk memulakan langkah baharu demi masa depan yang lebih baik.
“Apa yang saya lalui sebelum ini banyak memberikan pengajaran. Sekarang saya nampak macam-macam perkara saya boleh lakukan.
“Bukan mudah untuk saya ‘move on’ dan pandang kehadapan, ia mengambil masa untuk membentuk keyakinan diri.
“Orang lain tak boleh tolong, jadi saya paksa diri untuk keluar dari kepompong negatif. Itulah caranya dengan memaksa diri sendiri,”katanya.
Dalam masa yang sama, jelas anak kepada pelakon Kazar Saisi ini, sokongan daripada orang sekeliling juga sedikit sebanyak membantu Ira untuk kekal positif.
“Orang di sekeliling saya pun memainkan peranan juga, mereka bagi kata-kata semangat dan doa-doa yang sangat baik,”ujarnya.
Sementara itu,penyanyi lagu Aku Tak Kisah ini juga mengambil keputusan untuk tidak membiarkan dirinya hanyut dalam kemurungan malah mencuba untuk mencari potensi diri.
“Sebenarnya ia juga bergantung kepada diri sendiri. Jangan memilih untuk bersedih atau kemurungan terlalu lama, maka kita akan sentiasa di situ.
“Tetapi saya cari jalan kebahagiaan dan tak mahu sedih serta murung dalam masa yang lama.
“Dari dalaman juga, saya tanam niat untuk teruskan hidup dan nak tengok perkara-perkara baru,”katanya.
Terdahulu, Ira menjadi antara topik hangat selepas mendirikan rumah tangga bersama Syamsul pada 6 Januari 2023 di Selatan Thailand.
Namun, pada 5 September lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor mengesahkan wujudnya lafaz cerai taklik yang dilafaz oleh Syamsul terhadap Ira ketika pasangan itu masih bergelar suami isteri.
Syamsul dan Ira kemudiannya disahkan bercerai oleh mahkamah pada hari yang sama.