Jalil Hamid bimbang keadaan kesihatan isteri di Tanah Suci - Utusan Malaysia

Jalil Hamid bimbang keadaan kesihatan isteri di Tanah Suci

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Jalil Hamid, 69, mengakui bimbang selepas gagal mendapat khabar berita tentang keadaan isterinya, Haryati Sariat, yang kini berada di Tanah Suci Mekah bagi menunaikan ibadah haji.

Bagaimanapun, kata Jalil, dia kembali berasa lega selepas isterinya itu berjaya dihubungi sekitar jam 3 petang semalam.

“Saya dah cuba hubungi dia dari semalam tetapi talian tidak berapa baik dan tersekat-sekat. Selepas menanti dari semalam, barulah petang tadi (semalam) saya dapat bercakap dengan dia.

“Tapi saya terkejut kerana dia beritahu dia demam. Jadi saya mula susah hati dan saya berdoa supaya dia diberikan kesihatan yang baik dan cepat pulih,”katanya.

Jalil berkata demikian ketika ditemui di Majlis Tayangan Perdana filem Laknat di Midvalley Mall, di sini, semalam.

Selain itu, berkongsi lanjut mengenai isterinya, Jalil berkata, suri hatinya itu turut mengalami bengkak di bahagian kaki.

“Ini disebabkan dia perlu berjalan sejauh tiga kilometer dari hotel ke masjidil haram untuk menunaikan ibadah.

“Kebetulan, dia memang ada penyakit ketumbuhan pada bahagian pada tumit kaki.

“Keadaan itu memburukkan kesakitannya,”ujarnya.

Apabila berjaya menghubungi isterinya, Jalil berkata, berikutan itu dia menghadirkan diri ke majlis tayangan perdana filem lakonannya itu bersama rakan-rakan artis lain.

“Pada mulanya saya agak keberatan nak hadir. Tetapi selepas dapat bercakap dengan isteri dan rasa lega, saya putuskan untuk hadir malam ini (semalam).

“Saya juga minta anak temankan ke majlis sebab saya tak boleh memandu,”katanya.

Selain Jalil, filem Laknat arahan Saw Teong Hin turut dibintangi oleh Aeril Zafrel, Puteri Balqish, Noorkhiriah, Amerul Affendi, Naqiu Ariffin, Mila Mohsin serta Ismail Yaakob.

Filem Laknat diedarkan oleh D’Ayu Pictures bakal menemui penonton di pawagam bermula 5 Jun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN