PUTRAJAYA: Pelakon, Datuk Remy Ishak mengakui perkembangan sihat yang berlaku dalam industri perfileman negara sejak akhir-akhir ini menyuntik rasa kagum dan bangga dalam dirinya.
Menurut Remy atau nama sebenarnya, Mohammad Zalimei Ishak, perkara itu disifatkan sebagai sesuatu yang sangat positif terutama setelah melihat hasil karya bermutu daripada barisan rakan industri seni pada waktu ini.
Kata Remy, ia sekali gus meyakinkannya bahawa filem tempatan juga mampu bersaing di persada antarabangsa.
“Banyak pembikin filem sejak akhir-akhir ini memberikan nafas baharu dalam karya mereka.
“Itu adalah satu petanda yang bagus untuk industri perfileman kita.
“Misalnya filem Blood Brothers dan sekarang ini pula Keluang Man. Selepas ini cerita apa pula kan? Saya sangat gembira dan terujalah melihat perkembangan positif ini,”katanya.
Remy berkongsi perkara tersebut ketika ditemui pada tayangan perdana sebuah filem adiwira bertempat di GSC Cinemas, IOI City Mall, Putrajaya, baru-baru ini.
Disebabkan itu, aktor berusia 44 tahun ini berkata, ia juga telah melonjakkan rasa tidak sabarnya untuk terbabit dengan lebih aktif lagi dalam menjayakan naskhah-naskhah filem tempatan.
“Melihat kepada peningkatan ini saya rasa macam ‘hidup’ semula.
“Kalau kita tengok dulunya jalan cerita untuk sesuatu watak itu terhad tetapi sekarang ini banyak filem yang dihasilkan itu ‘best’.
“Terus-terang, ia buatkan saya rasa semangat nak berlakon dan semakin aktif dalam bidang ini semula,”katanya.
Selain Remy, filem arahan Anwari Ashraf itu dibintangi Nas-T, Datuk Rosyam Nor dan Shweta Sekhon.
Keluang Man merupakan siri animasi popular yang diperkenalkan pada akhir era 1990-an dan filem superhero ikonik Malaysia memulakan penggambaran pada 4 Mei tahun lalu.
Filem berdurasi 132 minit itu akan menemui penonton Malaysia dan Brunei bermula 29 Mei ini.