KUALA LUMPUR : Pelakon, Amyra Rosli, 35, tidak menyangka tindakannya melakukan aktiviti mengangkat barangan berat baru-baru ini menyebabkan dirinya mengalami pendarahan.
Bagaimanapun, kata Amyra, dia berasa lega kerana keadaan itu tidak kritikal setelah melakukan pemeriksaan di hospital.
Pada masa yang sama, Amyra turut menolak andaian bahawa keadaan itu disebabkan dia mengalami keguguran atau komplikasi berkaitan kehamilan.
“Pada awalnya saya rasa panik juga sebab tiba-tiba mengalami pendarahan. Setelah berjumpa dengan doktor, hasil pemeriksaannya mendapati tiada apa yang serius.
“Doktor ada berikan ubat dan dia beritahu sekiranya pendarahan itu masih berlaku saya perlu ke hospital segera. Namun Alhamdulillah,pendarahan berhenti setelah beberapa hari kemudian.
“Kejadian ini berlaku beberapa hari selepas Amar bertolak. Pada waktu sekarang, saya tidak mengandung. Saya ulang, saya tidak mengandung,”katanya.
Tambah Amyra lagi, dia juga dimaklumkan oleh doktor bahawa keadaan itu kemungkinan berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon.
Jelas Amyra, dia bagaimanapun tidak membuat sebarang pemeriksaan lanjut kerana pendarahan itu tidak lagi berlaku selepas pengambilan ubat.
“Yang membuat saya berasa hairan, ia bukan pendarahan haid kerana tempoh haid saya ketika itu belum tiba. Sebab itulah saya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor.
“Pada awalnya, saya menyangka ia permulaan kitaran haid, tetapi pendarahannya tidak seperti biasa. Menurut doktor, situasi ini boleh terjadi disebabkan oleh pelbagai faktor antaranya keletihan melampau atau ketidakseimbangan hormon.
“Namun saya tidak melakukan sebarang rawatan susulan kerana selepas beberapa hari, pendarahan itu berhenti dengan sendiri. Oleh itu, saya fikir keadaan sudah pulih,” katanya.
Kata Amyra, situasi itu ada dikongsikan dengan suaminya yang juga pelakon, Amar Baharin, namun tidak terlalu mendalam kerana dia enggan mengganggu fikirannya.
“Saya ada berkongsi perkara ini dengan Amar, tetapi tidak secara mendalam. Saya tidak mahu dia terlalu risau, lebih-lebih lagi ketika dia tiada di sisi dan dalam misi berbasikal menuju Tanah Suci,” ujarnya.
Terdahulu, Amyra ditemui di pelancaran koleksi terbaharu Amber Oasis Abaya dan diumumkan sebagai duta di samping Nora Danish dan Amira Othman.