SHAH ALAM : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 51, hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya kira-kira pukul 9.26 pagi ini bagi memfailkan permohonan perceraian terhadap suaminya, Dr. Rushdi Ramli.
Menurut Nora atau nama lengkapnya Wan Norafizah Wan Ariffin, dia hanya memohon doa yang baik memandangkan dia menganggap dirinya tidak mempunyai pengalaman bercerai sebelum ini.
“Saya baru nak masuk tidak tahu apa di dalam. Tak ada pengalaman lagi. Apa pun terima kasih sudi hadir.
“Saya minta yang baik-baik dan insya-Allah doa yang baik-baik sahaja lah,” katanya.
Tidak keseorangan, Nora yang lengkap berpakaian hitam juga ditemani anak perempuannya, Puteri Dahlia.
Sebelum ini, penyanyi lagu Naluri itu mengejutkan ramai apabila memuat naik foto hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Hulu Langat dipercayai ingin memfailkan perceraian terhadap Dr. Rushdi selepas didakwa didesak pihak ketiga.
Sementara itu, Dr. Rushdi pula tampil bersuara memihak Nora dan mengakui menerima tekanan daripada pihak lain agar berpisah dengan Nora.
Baru-baru ini, Nora sekali lagi meluahkan hasrat untuk memfailkan perceraian selepas gagal menemui titik penyelesaian.
Hujung 2021, Nora mengesahkan sudah bergelar isteri kepada Rushdi yang juga Pensyarah Kanan, Jabatan Fiqh & Usul, Universiti Malaya. – UTUSAN