Duo pop terkenal dari Norway, M2M, berjaya memukau lebih 5,000 peminat tempatan di Arena of Stars, Resorts World Genting semalam menerusi konsert siri jelajah dunia The Better Endings.
Lebih istimewa, konsert di Genting Highlands ini juga menjadi saksi kepada ulang tahun ke-23 penubuhan M2M, sebuah perjalanan muzik yang bermula sejak pelancaran album sulung mereka, Shades of Purple, pada tahun 1999, dan kini terus kekal di hati peminat di seluruh dunia.
Marion Raven dan Marit Larsen membuka tirai persembahan tepat jam 6 petang dengan lagu The Day You Went Away sekali gus membangkitkan sorakan gemuruh daripada penonton yang setia menanti kemunculan mereka sejak awal petang.
Konsert berdurasi hampir dua jam itu menyajikan barisan lagu hits popular seperti Pretty Boy, Everything, Girl in Your Dreams serta Mirror Mirror yang membuatkan suasana dewan terisi dengan emosi dari peminat.
Selain menyampaikan lagu-lagu kegemaran ramai, M2M turut memperkenalkan beberapa karya terbaru daripada projek muzik mereka, memperlihatkan kematangan serta kesinambungan karier mereka dalam industri muzik.
Dalam satu segmen santai di pertengahan konsert, Marit berkongsi perasaan terharu dengan sambutan hangat yang diterima.
“Malaysia sentiasa punya tempat istimewa dalam hati kami. Kami rasa seperti kembali ke rumah,” katanya.
Jelajah The Better Endings bukan sahaja melibatkan Malaysia, malah membawa M2M ke beberapa destinasi lain di Asia Tenggara termasuk Indonesia, Filipina, Thailand dan Singapura, membuktikan pengaruh mereka masih kukuh di rantau ini.
Sebagai tanda penghargaan, Marion dan Marit menutup konsert dengan lagu ikonik Don’t Say You Love Me bersama-sama penonton sekali gus menghangatkan suasana penuh nostalgia.
Kejayaan konsert ini sekali lagi membuktikan bahawa karya-karya M2M masih relevan dan mampu merentas generasi, menyatukan peminat lama dan baharu dalam satu malam penuh magis.
M2M kini dijangka meneruskan jelajah mereka ke beberapa lagi lokasi sebelum menamatkan siri The Better Endings menjelang penghujung tahun ini.
Untuk info, Marion Raven dan Marit Larsen, berasal dari bandar kecil Lørenskog di Norway, telah bersahabat sejak kecil dan mula bermain muzik bersama ketika berusia lapan tahun.
Sebelum dikenali sebagai M2M, duo ini pernah berduet di peringkat tempatan dengan nama Marit & Marion termasuk menerbitkan album kanak-kanak berbahasa Norway.
Bakat mereka menarik perhatian antarabangsa sehingga mendapat kontrak dengan Atlantic Records.
Pada tahun 1999, mereka melancarkan album debut antarabangsa Shades of Purple, sekaligus melonjakkan nama M2M ke persada muzik dunia.
Lagu hit seperti Don’t Say You Love Me yang turut menjadi lagu tema filem popular Pokémon: The First Movie, memperkenalkan mereka kepada jutaan peminat baru.
M2M kemudian melancarkan album kedua, The Big Room pada tahun 2002, mempersembahkan muzik yang lebih matang berbanding album pertama.
Bagaimanapun tidak lama selepas itu, mereka memilih untuk membawa haluan masing-masing dan memulakan kerjaya solo.
Walaupun berpisah untuk satu tempoh yang lama, persahabatan mereka kekal utuh sehingga ke hari ini.