KUALA LUMPUR : Tidak lagi berselindung, pelakon popular, Nabila Huda, 41, menjelaskan dia terlalu jijik untuk mengakui Nourish Hassan sebagai ibu tirinya dan berpendapat wanita terbabit lebih layak digelar ‘perempuan itu’
Amarah Nabila itu semakin memuncak apabila Nourish didakwa menjadi batu penghalang untuk dia bertemu dengan bapa kandungnya, Datuk Amy Search sejak lebih setahun lalu sekali gus menyebabkan dia mula bersuara kini.
“Orang ingat saya ini asyik bergaduh dengan papa sedangkan saya dengan papa tidak pernah bergaduh. Masalahnya ialah si polan itu (Nourish).
“Ibu tiri? Siap itu? Saya rasa jijik nak dengar status itu, ia sangat menjijikkan. Saya minta maaf, saya rasa nak muntah dengar status itu.
“Saya cuma ada seorang emak dan dia adalah cinta pertama papa saya, Suhaimi bin Abdul Rahman. Mungkin saya boleh panggil dia (ibu tiri) perempuan itu,”katanya.
Nabila berkata demikian ketika ditemui di majlis tayangan perdana filem Gayong di Midvalley Megamall, di sini, semalam.
Selain itu, Nabila turut memberi amaran kepada Nourish supaya berhenti melakukan sebarang provokasi kepadanya.
Kata Nabila, jika Nourish tidak berbuat demikian, dia tidak akan teragak-agak untuk ‘melondehkan’ rahsia besar wanita terbabit.
“Wahai ‘perempuan itu’ saya nak awak tahu , saya tahu semua rahsia awak. Saya tahu semua yang berlaku dan ada segala-galanya (bukti). Jadi, berhentilah buat apa yang awak sedang buat sekarang.
“Kita ini tak kisahlah status tinggi mana, yang penting adalah adab. Sebelum apa-apa yang berlaku, lebih baik hentikan sebelum lebih ramai siasat siapa diri awak yang sebenar.
“Siapa makan cili, dia terasa pedas. Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga,”katanya.
Pada masa yang sama, penyandang Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 ini turut mendakwa banyak pihak dalam industri seni tidak berasa selesa dengan kelakuan Nourish selama ini.
“Untuk pengetahuan awak wahai ‘perempuan itu’, satu industri bencikan awak. Semua orang tak selesa dengan awak, tapi macam saya kata, awak ada peluang lagi untuk perbetulkan keadaan.
“Awak jangan risau, saya memang tiada niat untuk merampas harta papa saya. Saya berdiri dengan diri sendiri dan tak perlukan semua itu. Saya cuma perlu untuk menumpang kasih seorang ayah sahaja.
“Kenapa susah untuk awak terima, berhentilah untuk cemburu, buanglah sikap busuk hati, kita ini hidup sementara sahaja,”katanya.
Terdahulu, Nabila memuat naik hantaran di X memaparkan video dia berpelukan dan mencium Amy bersama keterangan yang ditulis takdir mungkin memisahkan, tetapi ikatan mereka sebagai anak dan bapa tidak akan terputus.
Untuk rekod, Amy dan Nourish berkahwin pada 2003 dan mempunyai tiga cahaya mata iaitu Alexander Zulkarnain, Sania Samara dan Qaqa At-Tameemi.
Nabila Huda merupakan hasil perkahwinan pertama Amy dengan Faridah Fadzil manakala seoranh lagi anaknya, Irisha Myra adalah hasil perkahwinan ketiganya dengan Roslisa Ahmad.
Menerusi perkahwinan kedua dengan Noorliza Abdul Latiff mereka tidak dikurniakan cahaya mata.