PETALING JAYA: Bagai mahu menjernihkan situasi, pelakon, Datin Rebecca Nur Al Islam bertindak memadam segala perkongsian melibatkan Datin Seri Shahida Mohd Rashid di aplikasi Threads.
Menurut Rebecca, dia berbuat demikian demi menghormati abangnya yang enggan memanjangkan isu tersebut kepada umum.
“Terima kasih Abang Long untuk nasihat malam ini. Demi menghormati Abang Long saya, saya terima segala teguran, nasihat dan seperti biasa kasih sayang dan kata-kata positif yanng dicurahkan pada malam ini,” katanya menerusi sebuah hantaran di Threads.
Dalam perkongsian sama, Rebecca turut meluahkan rasa sayangnya terhadap abangnya dan mendoakan kebahagiaannya bersama isteri tercinta, Rozita Ibrahim yang juga merupakan ibu mentua kepada Shahida.
“Adik sayang Along sangat-sangat. Kita semua sekeluarga mendoakan Along sentiasa sihat dan bahagia sentiasa bersama isteri dan anak-anak tercinta.
“Saya akan padam segala-galanya. #BloodIsThickerThanWater,” katanya.
Sebelum ini, kemelut antara Rebecca dan Shahida mula menjadi sorotan selepas dirinya didakwa menumpang populariti ibu kepada usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri itu.
Rebecca bagaimanapun tegas menafikan dakwaan yang dipercayai dibuat oleh Shahida sekali gus menggelar menantu kepada kakak iparnya itu sebagai makcik, bodoh dan mulut jahat.
Tidak terhenti di situ, pelakon itu juga cuba melondehkan sisi sebenar Shahida dengan memuat naik beberapa tangkap layar DM (mesej) daripada beberap individu yang mendakwa kononnya pernah bekerja dengan isteri kepada Aliff Syukri itu.
Tindakan tersebut akhirnya menuai kecaman bahkan rata-rata netizen menyifatkan Rebecca seorang yang tidak matang kerana terus menyerang Shahida di media sosial.
Susulan itu, kakak iparnya, Rozita tampil mendedahkan keperibadian Shahida yang disifatkan sebagai seorang wanita yang cantik dah bijak sekali gus membantu membersihkan nama baik menantunya.