KUALA LUMPUR : Peragawan dan selebriti, Asyraf Dasley meluahkan rasa syukur kerana tidak menyangka namanya diangkat sebagai juara Mister Tourism World edisi ke-8 menewaskan peserta-peserta dari benua Eropah, Amerika, Afrika dan Asia.
Keputusan itu diumumkan menerusi satu kenyataan media di akaun media sosial Mister
Tourism World, kelmarin.
“Alhamdulillah saya bersyukur atas kemenangan ini, memang rasa gembira sangat apabila pengumuman itu dibuat dan saya sendiri tidak sangka.
“Tapi agak sedih apabila juga kejayaan tersebut saya tak dapat raikan di atas pentas
sebenar sewaktu hari kejadian.
“Apapun saya puji kewibawaan integriti organisasi yang menguruskan pertandingan itu kerana berlaku jujur,” katanya,”katanya.
Berkongsi lanjut, Asyraf memberitahu perjalanan untuk memenangi pertandingan itu tidak mudah kerana perlu lalui pelbagai cabaran yang sangat mencabar.
Malah pemergian ibu tercinta pada Januari lalu hampir mengubah fikiran Asyraf daripada menyertai Mister Tourism World.
“Ujian yang dibuat bukan hantaya dilihat dari segi fizikal atau rupa paras sahaja, malah
kami para peserta diuji dengan pelbagai aspek.
“Sebagai contoh kami diuji dengan ujian IQ (intelligence quotient) serta perlu menjawab
beberapa soalan melibatkan ujian psikologi.
“Lebih mencabar buat saya apabila perlu bersaing selepas kehilangan ibu tersayang pada 8 Januari lalu.
“Saya hampir nak tarik diri tapi fikirkan yang arwah minta saya buat sedaya upaya sebelum dia pergi, saya kuatkan semangat dan teruskan perjuangan,” ujarnya.
Selepas bergelar juara, Asyraf mahu mencipta pelbagai lagi kejayaan di peringkat
antarabangsa.
Untuk rekod, Asyraf diumumkan sebagai pemenang selepas pihak pengurusan membuat semakan pemarkahan.
Hasil pemeriksaan yang dilakukan, markah wakil Malaysia itu sememangnya di tempat pertama menewaskan wakil Vietnam yang diumumkan sebagai juara pada awalnya.
Asyraf membawa pulang hadiah berupa wang tunai dan tajaan percutian.
Pertandingan tersebut dijalankan pada Februari lalu di Vietnam dan disertai berpuluh peserta dari luar negara seperti Sepanyol, Nigeria, Taiwan, Thailand, Filipina, Australia, Perancis, Turki dan banyak lagi.
Dalam pada itu, berbekalkan bakat dan cita-cita yang tinggi, Asyraf juga berharap pencapaian yang dicapai mampu membuka mata pihak produksi di Malaysia untuk mengambilnya berlakon.
“Selepas ini saya mahu mencipta banyak lagi kejayaan lain di luar negara.
“Bila dah ada pencapaian itu saya harap ia membuka mata buat produksi di Malaysia untuk mengambil saya berlakon di sini,” katanya.
Selain itu, Asyraf memasang harapan untuk berlakon dengan pelakon-pelakon hebat seperti Datuk Rosyam Nor, Erra Fazira, Amelia Henderson dan Meerqeen suatu hari nanti.
“Saya berharap satu hari dapat berlakon dengan pelakon hebat macam Datuk Rosyam Nor serta Erra Fazira.
“Kalau yang muda pula saya teringin mahu berlakon dengan Amelia Henderson dan Meerqeen,” ujarnya.
Meskipun sudah berusia 34 tahun, Asyraf tidak merasakan dirinya sudah lambat untuk bergelar pelakon.
Sebaliknya dia mengikuti contoh-contoh pelakon dari luar negara yang memulakan karier agak lewat namun tetap berjaya diakhirnya.
“Saya percaya usia bukan penghalang untuk berjaya dalam bidang lakonan.
“Biarpun ada yang kata saya sudah lewat untuk berlakon, tapi saya ambil contoh pelakon luar negara yang berjaya juga pada akhirnya meskipun memulakan karier agak lambat,” jelasnya.