SUBANG JAYA – IDEAS Autism Centre (IAC) melancarkan kempen Anugerah Hati bagi meningkatkan kesedaran dan keterangkuman terhadap individu autistik sempena Ramadan dan Aidilfitri.
Kempen ini menampilkan lagu dan video muzik Hari Raya nyanyian Suki Low bersama kumpulan budaya Alun Tradisi, dan turut disertai oleh Yang Amat Mulia Tunku Zain Al-‘Abidin Ibni Tuanku Muhriz.
Dirakam di IAC, Nilai, lagu ini memaparkan kegembiraan kanak-kanak autistik, menyeru masyarakat untuk lebih memahami dan menerima mereka.
Majlis pelancaran berlangsung di Bizmilla Wedding Hall, One City, Subang, bersempena acara berbuka puasa yang dihadiri oleh para penaja, rakan kongsi, dan keluarga IAC.
Suki Low terharu dapat menghasilkan karya yang meraikan Hari Raya serta meningkatkan kesedaran tentang autistik.
“Saya berharap lagu ini menjadi simbol keterangkuman, di mana setiap suara didengari dan setiap keunikan diraikan,” katanya.
Pengarah IAC, Mazrina Arifin berkata, Anugerah Hati sangat bermakna kerana ia memberi ruang kepada suara dan senyuman kanak-kanak autistik untuk didengar.
Orang ramai boleh menonton video muzik di YouTube dan menstrim lagu di platform utama untuk menyokong kempen ini dan membantu meningkatkan kesedaran.
Sejak penubuhannya pada 2012, IAC komited dalam menyediakan pendidikan khas untuk kanak-kanak autistik, khusunya dari keluarga berpendapatan rendah dan berharap lebih ramai akan menyokong komuniti ini.