KUALA LUMPUR : Hanya diberikan peluang melontarkan tiga soalan, tindakan pengurusan penyanyi Indonesia, Putri Ariani, enggan menyambung semula sesi temu bual dengan media tempatan sempen sidang media Walker World Tour 2024 hari ini mencetuskan tanda tanya.
Menurut wakil penganjur, bapa kepada penyanyi yang popular menerusi program terkemuka antarabangsa, American Got Talent (AGT) itu tidak membenarkannya bertemu dengan media semula tanpa alasan kukuh.
“Maaf, bapanya baharu maklumkan Putri tak akan turun bertemu media untuk menyambung semula sesi temu bual yang tertangguh.
“Maaf juga media terpaksa tunggu hampir dua jam,”katanya.
Terdahulu, media tempatan hanya berpeluang bertanyakan cuma tiga soalan yang bahkan Putri juga tidak menjawabnya dengan baik.
Namun, sesi temu bual itu terpaksa dihentikan selepas pengurusannya membawa penyanyi berusia 18 tahun itu keluar dewan atas alasan belum bersarapan.
Wakil penganjur bagaimanapun berjanji akan membawa Putri bertemu media semula bagi meneruskan sesi temu bual yang tertangguh berhubung konsertnya dengan Alan Walker yang bakal berlangsung pada 22 Jun ini di ibu negara.
Bagaimanapun, selepas menunggu dua jam, pihak media kesal dengan tindakan tidak profesional pengurusan penyanyi tersebut.

Konsert Walker World Tour 2024 di Surf Beach Sunway Lagoon dianjurkan oleh Megatix Malaysia dan Putri merupakan artis yang diundang untuk menjayakan konsert tersebut.
Difahamkan, menerusi konsert itu, ia juga bakal menyaksikan kemunculan pertama Putri untuk sebuah konsert berskala besar di Malaysia.
Sekadar info, Putri memulakan kerjayanya dalam industri hiburan dengan mengikuti pertandingan pencarian bakat, Indonesia’s Got Talent musim kedua yang disiarkan di stesen televisyen SCTV pada 2014.
Kemudian pada tahun 2023, Putri menghadiri uji bakat pertandingan terkemuka AGT bagi musim ke-18 untuk minggu kedua.
Dalam uji bakat tersebut, dia membawakan lagu aslinya berjudul Loneliness sebagai penampilan pertama.
Setelah itu, tuah juga menyebelahi Putri apabila Simon Cowell membuka peluang buatnya lagi untuk menyanyikan lagu berjudul Sorry Seems to Be the Hardest Word karya Elton John bagi penampilan keduanya.
Di akhir persembahannya, Putri mendapatkan golden buzzer daripada Simon dan secara automatik membuatnya layak ke pertandingan tersebut selain mendapat perhatian dunia menerusi persembahannya.










