Tiada syarat tapi ada amaran buat Ariel - Wawa Zainal - Utusan Malaysia

Tiada syarat tapi ada amaran buat Ariel – Wawa Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MENYEDARI banyak isu mengenai golongan selebriti yang terjebak dengan skandal cinta di lokasi penggambaran, pelakon, Wawa Zainal, tidak menolak, perkara itu turut menyuntik rasa bimbang di hatinya.

Sebagai isteri kepada pelakon tampan, Ariel Zafrel, Wawa atau nama sebenarnya, Nur Hawa Zainal Abidin berkata, dia meletakkan kepercayaan penuh kepada suami sekiranya menerima sebarang tawaran lakonan yang membabitkan mana-mana pelakon wanita.

Ini kerana, sebagai anak seni, dia juga memahami bahawa lakonan di dalam sesebuah naskhah drama tidak sama dengan kehidupan realiti.

Cuma, katanya, sebagaimana dirinya berusaha untuk menjaga batas dalam pergaulan sesama rakan artis mahupun rakan industri, Wawa juga berharap Ariel dapat melakukan hal yang sama.

“Saya sebagai isteri, tak pernah meletakkan syarat buat Ariel jika dia menerima sebarang tawaran lakonan. Saya pun tak kisah dengan siapa dia berlakon sama atau pelakon wanita yang menjadi pasangannya dalam sesebuah drama.

“Tetapi saya adalah beri amaran kepada Ariel, tak perlu nak berlebih-lebihan dengan pelakon wanita lain.Bila dengar atau baca kisah artis yang terjebak dengan kontroversi atau skandal di set penggambaran, saya memang pesan pada suami supaya dia jangan buat perkara serupa,”katanya.

Tambah Wawa, dia tidak berkenan sekiranya Ariel turut bermesra dengan pasangan pelakon wanita lain dengan alasan mahu membina keserasian lakonan dan watak.

“Tak payahlah nak bagi alasan mahu membina keserasian dengan pasangan di set sampai perlu bermesra berlebih-lebihan. Saya memang tak boleh terima benda begitu.

“Rasanya tak perlulah sampai nak tolong angkatkan barang, pegang kain pelakon itu, tolong payungkan wanita itu di set, bermulut manis dan sebagainya, tak payah. Kalau depan kamera dan demi tujuan watak, tak apa.

“Kalau buat semasa kamera ‘off’, tak perlu pun. Bagi saya, cukup kalau hanya berbual biasa di set kalau nak wujudkan keserasian demi kerja. Kalau lebih daripada itu, memang mencari masalah. Itu yang saya pesan pada Ariel,”katanya.

Selain itu, Wawa juga percaya bahawa seseorang pelakon wanita itu sama ada yang sudah berkahwin mahupun belum, wajar tahu batas dalam pergaulan.

Dengan itu, kata Wawa, perkara yang boleh menjadi bahan fitnah orang ramai dalam dielakkan.

“Kalau seseorang pelakon wanita itu berlakon dengan suami orang, saya rasa, wanita pun kenalah jaga batas. Kalau sibuk nak bermesra walaupun tengah rehat atau ketika bukan di hadapan kamera, tak perlu pun.

“Saya faham, kalau terbabit dalam sesebuah kontroversi, kaum wanita biasanya akan terkena impak lebih. Namun, jika dapat dielakkan lebih awal, dibendung dan batas itu dijaga dengan baik dari mula, tentu tidak akan berlaku hal begitu. Sekali gus nama baik pun terjaga sama,”katanya.

Wawa lebih kenal saya – Ariel

Dalam pada itu, melayangkan pertanyaan kepada Ariel sama ada dia selesa bekerjasama dengan pelakon wanita sensasi, kata pelakon ini, dia terbuka atas dasar profesionalisme.

Kongsi Ariel, isterinya tidak perlu berasa bimbang kerana dia tidak pernah berlebih-lebihan sewaktu keluar bekerja.

“Saya rasa, Wawa dah cukup kenal diri saya. Setakat ini tak ada masalah dan saya tahu jaga batas. Kadang kalau nak bina keserasian di set penggambaran pun, tak perlu berlebihan sampai ke luar set.

“Cuma saya harap, dalam kes yang sedang berlaku sekarang, janganlah sampai nak senarai hitam artis terbabit.Tetapi terpulanglah kepada produksi, adakala perkara itu boleh beri pengajaran kepada artis itu agar tidak buat hal lagi.

“Ia juga boleh jadi pengajaran kepada pendatang baharu yang lain,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya