Kembali menyanyi, Mila Jirin dapat izin suami - Utusan Malaysia

Kembali menyanyi, Mila Jirin dapat izin suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan usahawan empayar Bizmilla, Mila Jirin, mengakui terharu dan bersyukur apabila mendapat keizinan suaminya untuk kembali semula ke dunia seni muzik sebagai penyanyi setelah lapan tahun berehat dan menguruskan perniagaan.

Menurut Mila, dalam tempoh tersebut, sebagai anak seni, dia tidak menolak sukar membuang perasaan rindu terhadap dunia nyanyian yang diminatinya sejak dahulu.

“Sebenarnya lebih lapan tahun saya tidak hadir dengan lagu baharu dan apabila ditawarkan semula, saya rasa ini masa yang sesuai untuk kembali kepada industri muzik tanah air.

“Banyak perkara yang saya korbankan dalam tempoh berkenaan tapi rindu saya untuk aktif semula tidak pernah sesekali padam. Selama ini saya hanya menyanyi untuk majlis pelanggan di Bizmilla Wedding Centre sahaja.

“Saya berkorban minat yang satu ini semata-mata mahu memberikan tumpuan kepada keluarga dan bisnes,”katanya.

Selain itu, kata Mila, sebelum ini dia menghormati dan menuruti permintaan suaminya, Ahmad Ailis yang mahukannya berehat sebentar daripada industri seni demi memberi tumpuan kepada anak dan keluarga.

Kata Mila, suaminya bimbang sekiranya dia terus aktif dalam bidang seni ketika anaknya, arif Zikri dalam proses membesar.

“Bukan mudah juga memandangkan saya terpaksa memujuk suami untuk memberikan keizinan. Alhamdulillah, akhirnya dia bersetuju dan memberikan kebenaran bersyarat termasuklah tidak mengabaikan keluarga dan perniagaan.

“Memang saya gembira sangat dan kembali merakamkan lagu baharu berjudul Sandera, saya berharap lagu ini akan diterima baik oleh pendengar seterusnya mengembalikan nama Mila Jirin kepada industri,” tambahnya lagi.

Bercerita mengenai rakaman, Mila gembira apabila lagu Sandera turut dijadikan runut bunyi untuk drama Khunsa yang bakal ditayangkan mulai 11hb Mac, setiap Isnin hingga Khamis jam 9 malam menerusi saluran tv Astro Ria.

Menganggap peluang yang diberikan cukup besar buat dirinya, penyanyi yang popular dengan lagu Persis Mutiara ini berharap kedua-dua produk ini akan diterima baik oleh peminat.

“Pada asalnya saya hanya membuat rakaman semula lagu Dawai untuk media sosial sahaja. Tak sangka pula video berkenaan tular sehingga menarik minat Amylea. Dia hubungi saya dan memberikan tawaran sebuah naskhah baharu untuk Khunsa.

“Bila mendengarkan sahaja tajuk Khunsa, itu sudah memberikan seribu satu persepsi kepada saya. Apabila mendengarkan kisah di sebalik Sandera, saya tidak boleh menolak.

“Ini memang peluang terbaik yang tidak harus dilepaskan dan yang saya tunggu selama ini, saya sangat gembira akhirnya berjumpa lagu yang sangat saya impikan dalam genre balada dan menonjolkan vokal saya,” kata juara Akademi Fantasia musim kelima ini lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya