SUNGAI PETANI: Salah faham ketika mabuk dipercayai menjadi motif seorang lelaki warga Myanmar mati dibunuh dalam kejadian di hadapan asrama sebuah kilang di Taman Cendana, di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan pada pukul 11.53 malam berkaitan seorang lelaki dalam keadaan berlumuran darah dan tidak sedarkan diri.
“Lelaki terbabit terbaring dengan kesan kecederaan di badan dan kepala dipercayai ditikam dan dipukul. Pemeriksaan mendapati mangsa berumur 23 tahun itu telah meninggal dunia dan mayat dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar untuk bedah siasat,” katanya.
Menurut Wan Azharuddin, seorang rakan mangsa berusia 29 tahun dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini akibat cedera di bahagian pinggang dan kepala selepas disyaki bergaduh dengan beberapa lelaki ketika mereka sedang minum minuman keras.
“Susulan itu, kita berjaya menahan seorang lelaki Myanmar berusia awal 40-an kerana disyaki terlibat dalam kejadian tikam dan pukul terbabit sebelum menahan lima lagi suspek berusia antara 20 hingga 40-an selain mengesan empat lagi suspek yang masih bebas,” katanya.
Kata beliau, lima lelaki terbabit direman selama tujuh hari bermula hari ini untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kita sedang merakam percakapan suspek untuk mendapatkan motif sebenar kejadian dan senjata yang digunakan. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Asisten Superintendan Siti Anim Aripin atau IPD Kuala Muda di talian 04-4299222,” katanya. – UTUSAN










