AI: Jahanamkah industri muzik Malaysia? - Utusan Malaysia

AI: Jahanamkah industri muzik Malaysia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LUCU rasanya mendengar lagu Datuk Seri Siti Nurhaliza, Cindai, dialih suara kepada artis dan rapper terkenal Korea Selatan, Han Bin. Begitu juga dengan lagu raya tempatan tiba-tiba dinyanyikan dengan suara Justin Bieber.

Semuanya mustahil dengan sentuhan dan kecanggihan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang perlahan-lahan campur tangan dalam kerja kreatif dan sumber daya penggiat muzik seluruh dunia.

Di sebalik sifat teknologi yang cepat bercambah dan berubah, ia boleh mengundang jenayah jika tidak dicermati. Apabila suara artis dan lagu yang dihasilkan oleh komposer disalah guna, keuntungan disauk pihak tertentu, ketika itu semuanya tidak lucu lagi.

Penggiat muzik Amerika Syarikat sudah membahaskan isu ini sejak setahun lalu terutama ketika lagu Heart on My Sleeve dihasilkan menerusi AI dengan suara Drake dan The Weeknd meletus. Juga saman menyaman lirik yang dihasilkan ChatGPT.

Mereka mula menggigit bibir menyedari bahawa AI boleh menjadi duri dalam daging kepada industri muzik sendiri.

Sedikit masa lagi, kita bakal menyaksikan situasi dan dilema serupa akan sampai juga kepada industri muzik Malaysia.

Jadi, sudah masanya kita bersedia beradaptasi, mengimbangi dan mengawal kecanggihan teknologi agar tidak menjahanamkan anak seni serta memaksimumkan penggunaan AI dengan cara suci.

Keresahan itu turut disuarakan komposer dan penyanyi terkenal, Ajai, yang melihat AI mempunyai kepincangan untuk mengundang pihak tertentu menyalah guna peluang yang ada.

“AI datang dengan tawaran teknologi yang menarik, namun ia juga memberikan dilema. Dalam kita bergerak kepada trend lebih maju, namun jika tidak digunakan dengan baik, ia akan mendatangkan kerosakan.

“Akan ada manusia yang ambil kesempatan khususnya melibatkan keuntungan. Apa yang saya nampak, akan ada pihak yang merakam hasil kerja orang lain dan terjadinya isu plagiarism.

“Perkara ini perlu dikawal oleh semua pihak agar kita terus menjaga hal intelek penggiat seni,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi penyanyi Aizat Amdan, sekiranya AI menjadi lebih maju, mungkin di masa hadapan akan ada persembahan yang tidak memerlukan fizikal artis.

“Apa yang saya terfikir, AI boleh ambil data fizikal kita. Penganjur persembahan boleh undang kita bernyanyi tanpa perlukan fizikal kita di sana. Jadi adakah AI akan menggantikan kerjaya penyanyi juga?

“Namun saya agak positif kerana AI dihasilkan oleh mesin. Ia tiada jiwa. Lama kelamaan orang akan bosan juga. Kerjaya penyanyi tidak akan mati.

“Selain itu, aspek lain yang saya fikir ialah isu plagiarism,” katanya.

Faham undang-undang, garis panduan

Bagi meredakan keresahan anak seni dengan kedatangan AI, peguam harta intelek Hafiz Zubir & Co, Ahmad Hafiz Zubir, memberikan garis panduan sebagai pencerahan kepada semua penggiat seni kreatif tanah air.

Sekiranya seorang komposer berada dalam situasi di mana lagu mereka diambil dan dinyanyikan oleh artis lain tanpa persetujuan, mereka boleh mendapatkan perlindungan dengan jalan undang-undang.

“Sekiranya lagu mereka dinyanyikan dengan suara penyanyi lain, itu pun dikira melanggar hak cipta kerana berlaku modifikasi, penghasilan semula serta pengedaran karya itu kepada orang awam tanpa kebenaran.

“Sama juga sekiranya lagu itu diterjemah dan dinyanyikan dalam bahasa lain, komposer tetap dikira sebagai pemilik asal,” dedahnya.

Namun begitu, situasi sedikit rumit dan kompleks sekiranya melibatkan suara artis. Ini kerana, setakat hari ini, tiada undang-undang jelas yang mengiktiraf suara serta tubuh badan manusia sebagai ‘hak milik’.

“Sesuatu karya yang dihasilkan, kita jelas siapa pemiliknya. Namun dalam konteks tubuh badan dan suara, ia berbeza. Sebab itu di negara maju, mereka sedang memperjuangkan agar ada satu undang-undang yang mengiktiraf tubuh seseorang sebagai hak milik, khususnya jika dia seorang figura terkenal.

“Begitu juga dengan suara, dalam konteks penyanyi, setakat ini belum ada lagi undang-undang yang jelas menghalang perkara itu. Ia agak merisaukan khsusnya dari aspek keselamatan. Boleh ada orang yang salah guna suara untuk tujuan jenayah.

“Cuma sekarang kerajaan Malaysia sedang merangka akta keselamatan siber dan ini adalah isu yang hangat dibangkitkan dalam akta tersebut. Perkara ini menjadi salah satu pertimbangan penting,” tambahnya.

Jelas Hafiz Zubir lagi, penggiat seni dipersilakan memaksimumkan penggunaan AI asalkan mereka tahu setiap naskhah yang dihasilkan perlu mendapatkan kebenaran.

“Kuncinya ialah kita kena dapat kebenaran walau dalam apa jua keadaan.

“Jangan sewenangnya menggunakan suara atau lagu orang lain tanpa izin,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya