Trisha Ooi tak akan langgar prinsip demi wang ringgit - Utusan Malaysia

Trisha Ooi tak akan langgar prinsip demi wang ringgit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MUNGKIN ada rasa ralat terbit di hati pelakon, Trisha Ooi saat soalan tentang seksi mula dilayangkan. Kecaman yang diterima lantaran penampilan berkembannya dalam filem Pagari Bulan, mungkin masih berbekas.

Namun baginya, kerjaya lakonan sememangnya menuntut komitmen dan pengorbanan. Tetapi tetap ada limitasi dan batas yang perlu dipatuhi. Dia tidak mahu memancing kecaman bertubi-tubi lagi.

Ditanya seseksi yang bagaimana dia akan setuju, Trisha mengambil masa sebentar sebelum memberi jawapan. Takut juga ada mata dan hati yang kurang senang jika ayat disusun salah.

“Saya bukan seorang yang seksi, jadi apabila diminta untuk berkemban dalam filem, saya tidak ada masalah. Tetapi saya tidak pernah ambil mudah bab penampilan ini. Tetap ada terma dan syaratnya.

“Memang ada yang cakap, kalau nak jadi macam Tan Sri Michelle Yeoh kena berani. Iya, itu benar tetapi keberanian untuk tampil terlalu seksi di layar kaca atau perak itu perlu dipertimbangkan.

“Kalau sampai kena berbikini itu, tidak sama sekali. Berseluar pendek dengan baju tanpa lengan, saya masih okay. Tetap ada limitasinya. Saya juga tahu dan faham,” ujarnya.

Tetapi dia juga sudah bersedia kerana seandainya dia sekali lagi melakonkan watak dengan penampilan terdedah, ruang kecaman itu seumpama telah dibuka seluasnya tanpa tapisan.

Bagaimanapun, dia akan berbincang dengan pengarah dan penerbit sekiranya watak tersebut memerlukan dia untuk tampil dengan gaya seksi dan terdedah.

“Susah juga tau. Tak boleh cakap tak nak atau tak terima watak sebegitu, itu adalah tuntutan dan komitmen sebagai pelakon. Bagi saya, ada ruang perbincangan antara pelakon dan pengarah.

“Kalau keterlaluan, saya sendiri akan tolak atau fikir cara terbaik untuk memenuhi kehendak skrip. Kita tengok juga dari pelbagai sudut. Saya masih baharu, banyak kena belajar,” ujarnya.

Melayangkan soalan, apakah harga limitasi seksi yang dimaksudkan pelakon berusia 24 tahun itu? Adakah dia sanggup melanggar prinsip kerana tawaran lumayan yang diberikan?

“Tidak sama sekali. Bayar mahal macam mana pun, jika permintaan itu terlalu melampau dan tidak sesuai, saya akan tolak. Itu bukan saya,” kongsi pelakon Coast Guard Malaysia: Ops Helang.

BELAJAR BERDIKARI

“Betul ke awak ada masalah dengan pengurusan lama?”

Itu soalan yang dilontar di hujung sesi temubual itu. Perlahan Trisha mengangkat wajah dan terlihat raut wajahnya seakan sedang berfikir menyusun ayat.

Tidak mahu terus mendiamkan diri, Trisha dengan tenang menjawab;

“Saya dan pengurusan lama tidak ada masalah. Saya keluar dengan cara baik selepas kontrak tamat. Saya mahu bergerak sendiri. Saya fikir, kalau kekal dalam pengurusan sama, mungkin saya tak akan berkembang.

“Sekarang saya cuma ada pengurus. Jadi kami sama-sama belajar menyusun masa dan kerja supaya tidak ada masalah. Memang kena belajar semua itu. Kita pun masih baru kan.

“Menguruskan diri sendiri ini sebenarnya ada cabarannya juga. Tapi kalau bukan sekarang bila lagi kan? Tapi betul tau, saya tak ada masalah dengan pengurusan sebelum ini,” kongsinya.

MENANTI SENJA

Tular di media sosial gara-gara drama baharunya, Menanti Senja, aktres asal Kuala Lumpur ini bersyukur kerana digandingankan dengan barisan pelakon hebat antaranya Johan Asaari, Faizal Hussien dan Khatijah Tan.

Malah, kebersamaan kru produksi termasuk pengarah juga memudahkan dia untuk membawakan watak Sarah biarpun ‘berdepan’ dengan pelakon-pelakon hebat tempatan.

“Watak Sarah ini antara karakter yang paling berat yang saya pernah bawakan. Saya juga perlu jadi lebih matang daripada usia saya. Tetapi saya belajar banyak dengan mereka.

“Terharu juga dengan sambutan peminat sampai sohor kini di TikTok. Baru 13 episod, sabar ya. Banyak lagi drama yang akan berlaku dalam Menanti Senja,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya