Syarikat rakaman culas promosi, ‘sapu’ duit - Utusan Malaysia

Syarikat rakaman culas promosi, ‘sapu’ duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DIJANJIKAN bulan dan bintang sebelum kontrak ditandatangani, namun berputih mata bila tiada satu pun gerak kerja promosi. 

Bila ajukan tentang perancangan masa depan, artis pula dituduh diva, berlagak popular dan menyombong diri. 

Itulah antara situasi yang dihadapi beberapa penyanyi yang tersilap percaturan kerana meletakkan sepenuh kepercayaan kepada sesetengah label rakaman yang culas dan tidak mempunyai strategi. 

Kesannya, kerjaya penyanyi terbabit bukan sahaja tidak berkembang malah kebebasan mereka untuk berkarya pula disekat.

Lebih mengecewakan, hasrat penyanyi terlibat untuk berkolaborasi dengan artis lain juga terhalang disebabkan terikat dengan perjanjian dengan label rakaman. 

Ibaratnya, disuruh terbang tinggi, namun sayap disepit tuan sendiri.

Lepas tanda tangan, kemudian apa?

Menurut sumber yang enggan namanya didedahkan, penyanyi terlibat menyifatkan tindakan menandatangani kontrak dengan sebuah syarikat rakaman tempatan yang juga dirahsiakan identitinya mengundang bahana dan membazir masa. 

Dakwanya, label tersebut hanya memburu artis yang tular di media sosial untuk menumpang populariti tanpa meletakkan usaha untuk membantu artis berkenaan mengembangkan kerjaya.

Bukan itu sahaja, penyanyi berkenaan juga mengakui, banyak kerja dan tawaran membuat persembahan diperolehinya atas usaha sendiri. 

Begitu juga dengan rangka promosi yang diusahakan artis tersebut dengan terpaksa meminta bantuan rakan artis lain untuk berkongsi video lagu terbaru mereka di media sosial. 

“Apa yang label buat? Sekadar tumpang nama sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Artis berkenaan merasakan dirinya diabaikan, membuat dia secara perlahan-lahan enggan meneruskan cita-cita dan hilang semangat membina kerjaya kerana diperkotak katikkan syarikat rakaman terbabit. 

Situasi ini turut berlaku kepada seorang lagi penyanyi yang juga meminta agar identitinya dirahsiakan.

Bernaung di bawah sebuah syarikat rakaman dalam negara, artis tersebut mendedahkan pihak syarikat rakaman berkenaan ibarat bertindak lepas tangan dengan mengabaikan video lagu yang telah dimuat naik di media sosialnya.

Penyanyi itu terpaksa mengambil inisiatif sendiri, berkongsi video-videonya di saluran Youtube miliknya sehingga menarik jumlah tontonan memberansangkan. 

Namun usahanya itu hanya mengundang kesan negatif apabila label yang menaunginya dengan serta merta menyenarai hitam nama artis tersebut tanpa memberikan sebarang penjelasan.

Lantik peguam, pengurus berkaliber

Bekas Presiden Universal Music Asia, Sandy Monteiro, tidak menafikan situasi yang melanda artis-artis ini  pernah dan masih berlaku sehingga ke hari ini. 

Dedah Sandy, pernah menerima aduan tentang sikap acuh tak acuh sebilangan kecil label rakaman yang bukan sahaja gagal mengembangkan bakat, namun juga menipu dengan mengaut komisen yang tinggi daripada hasil bayaran yang diperoleh artis mereka. 

Lebih parah lagi katanya apabila artis mereka dihalang membuat semakan pemotongan bayaran komisen tersebut, dibiarkan terpinga-pinga dan dinafikan hak untuk menyuarakan tentang kedangkalan tersebut.

“Saya bukan nak burukkan atau mengadu tentang industri muzik tempatan. Saya cuma masyarakat faham bahawa ekosistem dunia muzik tanah air pada hari ini berbeza. Label sendiri pun sudah kekurangan orang. 

“Kalau dulu ada 8 orang di meja domestik, dan 8 orang di meja antarabangsa. Kini hanya tinggal seorang. Individu itulah yang buat kerja pemasaran, uruskan penerbitan, tanda dagang dan menguruskan Artis dan Repertoire (A&R). Mereka hilang fokus. 

“Namun kita tidak boleh nak salahkan jika artis mereka mengeluh. Memang pada asalnya mereka setuju tandatangan kontrak kerana mereka kurang kapasiti untuk lakukan promosi dan juga uruskan beberapa hal yang sepatutnya diselesaikan oleh label,” katanya. 

Nasihat Sandy, penyanyi perlu membuat kajian, semakan dan penelitian yang mendalam terhadap setiap syarat yang dinyatakan di dalam kontrak. 

Justeru, penting untuk mana-mana penyanyi melantik peguam atau pengurus yang berkaliber untuk bukan sahaja membimbing, tetapi juga melindungi mereka daripada dimanipulasi pihak tidak bertanggungjawab.

“Banyak artis yang tanda tangan kontrak rakaman kerana termakan dengan hasutan yang kononnya syarikat rakaman yang menawarkan pernah mewakili penyanyi ‘tertentu’ pada suatu masa dulu.

“Namun harus diingat, kewangan untuk membangunkan seseorang artis pada hari ini juga tidak lagi sama seperti dulu. Saya jumpa ramai artis yang diperdaya, khususnya dari aspek bayaran. Sepatutnya mereka dibayar ribuan ringgit, namun yang mereka terima setakat ratusan jumlahnya.

“Bawalah peguam untuk bimbing anda sebelum menandatangani kontrak. Anda masuk industri muzik sebagai pekerja, cari makan dalam lapangan ini. Carilah juga pengurus yang berkaliber yang boleh pertahankan hak anda. Tapi realitinya, pengurus yang baik kebanyakannya dibenci syarikat rakaman,” tambahnya.

Selidik sebelum tanda tangan kontrak

Maklum akan situasi yang berlaku kepada sesetengah artis rakaman, penyanyi, Imran Ajmain menasihati penyanyi berani bertanya tentang jaminan yang dijanjikan sebelum menyertai mana-mana label rakaman.

“Saya faham jika syarikat rakaman keluarkan duit, mestilah mereka nak pulangan modal. Namun, jika mereka tidak boleh berikan jaminan usaha, baik jangan tanda tangani kontrak. Lebih-lebih lagi jika artis itu baru dan tidak tahu apa-apa.

“Artis kena faham, menandatangani kontrak tidak menjamin apa-apa, oleh itu kena ambil tahu mengapa ada artis yang keluar atau dikeluarkan daripada syarikat itu sebelum ini,” katanya. 

Menurut penyanyi Padam Dan Pergi itu lagi, artis juga perlu berusaha sendiri dengan mencari persembahan dan muat naik pelbagai kandungan di media sosial. 

“Artis tidak patut mengharapkan label semata-mata. Kerja label adalah untuk distribusi dan pemasaran artis. 

“Artis patut bagi sesuatu untuk dipasarkan, bukan sekadar posting OOTD anda di media sosial,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN