KUALA LUMPUR: Pelakon dan penyanyi, Marsha Milan, 38, mengakui kurang selesa apabila rakaman kediaman keluarganya menjadi tular di media sosial.
Bagi Marsha, kediaman adalah privasi seseorang yang tidak seharusnya menjadi bahan tontonan umum di media sosial
“Sebenarnya saya tidak berapa senang dengan rakaman itu kerana rumah adalah privasi.
“Kalau saya muat naik sekalipun, saya tidak menunjuk-nunjuk. Sebab takut akan keselamatan.
“Terus terang itu rumah keluarga dan bukanlah rumah peribadi saya. Jika nak kaya saya kaya kerana rumah tersebut, itu tidak benar,” katanya.
Marsha ditemui Utusan Malaysia di Meet and Greet Paling Ikonik AJL 38, di Pasar Seni, hari ini.
Malah, Marsha turut menegaskan selesa tinggal sebumbung bersama ibu mentua sejak berkahwin pada tahun 2015.
“Mula-mula tak jangka yang saya akan menetap bersama keluarga mentua. Tapi, Alhamdulillah saya sudah terbiasa.
“Kalau duduk dengan suami sahaja, mungkin saya akan berasa sunyi. Lagipun ibu mentua saya tinggal seorang. Ayah mentua sudah tiada. Jadi bagus juga kami saling menjaga antara satu sama lain,” katanya
Terdahulu, tular video rakaman satu minit memaparkan kemewahan kediaman yang didakwa milik penyanyi Marsha Milan.
Marsha bagaimanapun telah meminta pihak berkenaan memadam video tersebut.










