Fesyen pelik? Seni itu abstrak - Melly Goeslaw - Utusan Malaysia

Fesyen pelik? Seni itu abstrak – Melly Goeslaw

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANJANG 29 tahun membina empayar seni muzik di bawah jenama Melly Goeslaw, penyanyi terkemuka kelahiran Indonesia ini tidak pernah reda dengan cuit-cuit orang mengenai bagaimana caranya menikmati dan menggayakan fesyen.

Ya, ini kerana,fesyen dan imej yang menjadi pilihan wanita berusia 50 tahun ini berbeza dan berterusan berada di luar nalar artis atau selebriti lain.

Sering menggayakan fesyen avant-garde atau busana-busana yang gah dengan identiti atau gaya yang tidak difahami, Melly bagaimanapun tetap teguh dengan pendiriannya.

Walau sejuta orang membenci atau mengecam dirinya dengan pilihan yang dilakukan, penyanyi dan komposer ini terbuka dengan sebarang pandangan yang dilemparkan.

Baginya, sama sebagaimana orang lain berhak mengeluarkan pandangan, dia juga berhak dengan pendirianya sendiri.

“Bagi saya, selama kita berada dalam ruang lingkup seni, kita sebagai seniman mempunyai kebebasan untuk berkarya dan ia tidak cuma pada bidang muzik.

“Fesyen di luar kebiasaan, itu adalah satu seni yang abstrak dan apabila bercakap mengenai abstrak, ia tidak bentuk yang tetap, atau nilai.

“Apa yang pasti, selagi apa yang dilakukan atas nama seni, itu bagi saya adalah bebas.
Kita yang berada dalam industri seni ini yang mengendalikannya. Apa pun, tujuan asalnya adalah demi kepuasan untuk menghiburkan peminat dan penonton,”katanya.

Melly berkata demikian ketika ditemui pada sidang media Konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) di ibu negara, kelmarin.

Berkongsi mengenai fesyen dan imej, kegilaannya terhadap perkara itu juga menjadi inspirasi buat penganjur konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) untuk menetapkan tema pakaian buat peminat yang ingin menonton persembahan Melly.

Bakal diadakan pada 1 Jun di Axiata Arena Bukit Jalil, Kuala Lumpur, konsert tersebut yang dianjurkan oleh AKE Group dan Icon Entertainment membawakan tema malam graduasi buat semua peminat yang ‘sporting’ untuk sama-sama menikmati malam yang membuai memori.

Bercakap mengenai perkara itu, Melly tentunya gembira dan teruja kerana apa sahaja yang menetapkan sesebuah konsep disifatkan kena dengan jiwanya.

“Saya adalah pencinta konsep. Jadi apabila datang dengan idea begini, saya rasa sesuai kerana mahu menyatu dengan penonton dalam konsert itu nanti. Saya mahu melihat mereka juga terlibat dengan persembahan saya secara tidak langsung menerusi gaya dan imej yang ingin mereka bawakan.

“Mereka sudah beli tiket, tinggalkan rumah, keluarga semata-mata mahu menonton saya di konsert, jadi apa salahnya jika kita berikan suasana yang menarik buat mereka dan ‘menyibukkan’ mereka untuk bersiap dengan kostum masing-masing.

“Tampil dengan konsep juga adalah satu cara untuk mereka menonjol antara ribuan orang yang hadir di konsert itu kelak sekali gus meninggalkan mereka dengan satu kenangan manis,”katanya.

Ditanya sama ada dia telah menyenaraikan nama artis yang bakal membuat persembahan sempena konsert tersebut, kata Melly, perkara itu masih belum dinoktahkan.

Katanya, menerusi perbincangan dengan penganjur, pemilihan artis yang akan membuat persembahan dengannya kelak akan diundi dan dipilih oleh peminat.

Peminat muda

Dalam pada itu, ditanya mengenai pandangannya berhubung kehadiran peminat-peminat dalam kalangan generasi muda kini, Melly mengakui terharu kerana muziknya berjaya mencakupi dan menyentuh jiwa peminat baharu.

Baginya, faktor utama mungkin kerana ramai bersetuju bahawa muzik era 90-an itu lebih organik dan bersifat malar segar meskipun tahun telah berganjak ke era lebih moden.

“Mungkin kerana muzik 90-an itu lebih organik sehinggakan anak-anak usia di bawah 20-an suka dengan muzik itu. Pada masa itu, semua pemuzik seakan punya ruang waktu lebih untuk memikirkan susunan lagu dan sebagainya.

“Anak-anak saya juga penggemar muzik 90-an. Jadi tak hairanlah ramai yang turut suka,”katanya.

Pun begitu, kata Melly, ia tidak bemaksud bahawa muzik kini tidak mempunyai kualiti yang baik sebagaimana era 90-an.

“Bagi saya, sama-sama bagus. Kalau dulu, kita tak ada banyak platform dan hanya jual lagu menerusi cakera padat, kaset.Kalau mahu promosi pun cuma ada majalah, surat khabar, radio dan televisyen.

“Itu pun harus lolos beberapa kriteria untuk tembusi standard promosi. Zaman dulu, sulit lagi untuk pemasaran. Berbeza dengan sekarang, banyak platform dan boleh promosi karya di mana sahaja atau bila-bila masa sahaja.

“Jadi, mungkin waktu yang digunakan untuk fikirkan konsep muzik itu jauh lebih kurang kerana komitmen bahan kandungan pula yang diutamakan. Kalau dulu, kita benar-benar fokus kepada muzik,”katanya.

Sementara itu, bagi mereka yang ingin mendapatkan tiket konsert Ada Apa Dengan Melly & Friends (Malam Graduasi) boleh berbuat demikian di www.Zcket2u.com.my atau hubungi talian hotline di 012 6530 700 (WhatsApp).

Tiket akan mulai dijual pada 1 Mac 2024, Jumaat, pada pukul 11 pagi dengan paparan harga seperti berikut ; Sejarah (RM228), Pendidikan Jasmani (RM288), Sains (RM328), Sastera (RM428) dan Matematik (RM588)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya