Ernie Zakri kecewa lagu sudah tiada di TikTok, harap penyelesaian terbaik - Utusan Malaysia

Ernie Zakri kecewa lagu sudah tiada di TikTok, harap penyelesaian terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Ernie Zakri, kecewa apabila semua lagu dalam album Aura telah ditarik semula dan tidak boleh digunakan di aplikasi TikTok.

Menurut Ernie atau Nur Ernie Shahirah Zakri, 32, keputusan itu memberi kesan yang besar untuk kerja promosi lagu khususnya bagi artis kecil sepertinya.

“Waktu dapat tahu perkara itu, saya kecewa dan risau. Semestinya saya sangat terkesan dengan keputusan yang dibuat oleh Universal Music Group (UMG) kerana TikTok sudah menjadi platform yang besar untuk kita semua.

“Selama ini memang kerja promosi lagu kami lakukan di platform tersebut. Kalau artis yang sudah terkenal di seluruh dunia, mungkin mereka tidak kisah dengan penarikan lagu di TikTok.

“Tapi untuk artis yang kecil seperti saya, memang terkesan,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.

Penyanyi lagu Masing-Masing itu bagaimanapun berharap agar keputusan ini hanya bersifat sementara memandangkan pihak (UMG) dan TikTok masih boleh melakukan proses rundingan mencari kata sepakat.

“Mungkin keputusan menarik semula katalog lagu adalah tindakan terbaik yang difikirkan UMG untuk artisnya di seluruh dunia.

“Namun saya berharap ada penyelesaian terbaik dan cepat untuk kami semua. Insya-Allah saya doakan yang terbaik,” tambahnya.

Sebelum ini, bermula 1 Februari, pihak Universal Music Group (UMG) telah menarik semula katalog lagu artis mereka di platform TikTok selepas perjanjian perlesenan antara dua syarikat gergasi itu tamat pada 31 Januari lalu.

UMG dan TikTok bagaimanapun gagal mencapai persetujuan khususnya dalam isu melibatkan pembayaran royalti, pampasan kepada artis serta isu melibatkan kecerdasan buatan (AI) di platform tersebut.

Pengguna yang pernah memuat naik video menggunakan lagu daripada artis naungan UMG telah dibisukan selain mendapat notis pemberitahuan daripada TikTok untuk menukar muzik kepada artis lain

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN