Dituduh permainkan OKU, Zoey Rahman mahu jumpa Mas

Dituduh permainkan OKU, Zoey Rahman mahu jumpa Mas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Dikecam dan dituduh mempermainkan hati seorang wanita berstatus Orang Kurang Upaya (OKU), pelakon dan pempengaruh media sosial, Zoey Rahman, mengakui tidak berniat untuk berbuat demikian.

Menurut Zoey, dia tidak pernah memberi harapan palsu kepada wanita yang dikenali sebagai Mas Factor itu kerana sepanjang membuat siaran langsung bersama di Tiktok, dia menganggap Mas tidak lebih daripada seorang kenalan.

“Saya menafikan yang saya telah mengesploitasi atau mempermainkan hati Mas. Malah, saya juga tak ada niat buat siaran langsung di Tiktok untuk tujuan pemasaran atau sebagainya.

“Sebenarnya, saya selalu tengok TikTok dia sebelum ini dan mendapat tahu dia suka bersolek.Malah saya juga telah menghadiahkan Mas set alat solek yang terdiri daripada pelbagai jenama untuk menyokong hobinya itu,”katanya.

Selain itu, Zoey berkata, dia pernah memberitahu Mas agar wanita itu tidak terlalu melayan perasaan kerana mereka berdua baharu sahaja saling mengenali.

“Selepas dia meluahkan perasaan mahu menjadi lebih sekadar kawan, saya sudah cakap kepada dia supaya tidak terburu buru sebab kami baru kenal.

“Ramai kecam saya anggap saya permainkan dia. Timbul pula golongan menyokong Mas. Bagi saya perkara ini tidak bagus. Kalau mereka [netizen] mengikuti kami dari awal, mereka akan faham hiburan yang kami sampaikan,”katanya.

Dalam pada itu, Zoey memberitahu sumber yang sama dia merancang mahu berjumpa Mass pada Mac nanti dalam satu acara. Di mana Zoey terharu apabila mendapat tahu Mass mahu menghadiahkannya lukisan.

“Walaupun dia tak sempurna fizikal namun dia ada bakat berbeza, dia boleh menyanyi, berlakon dan melukis wajah saya. Dia mahu hadiahkan lukisan itu kepada saya apabila kami berjumpa nanti,”katanya.

Terdahulu, Zoey dikatakan sengaja menjadikan OKU sebagai subjek bahan kandungan di media sosial selain dituduh mahu mempromosikan produk kosmetik jenamanya.

Dalam satu video terbaru, Zoey dilihat sedang memujuk Mas Factor termasuk memberikan gimik mahu mengelap air mata wanita OKU itu.

Netizen mulai menegur pelakon itu dan mendakwa Zoey sebenarnya sedang bermain dengan perasaan Mas dan boleh menyebabkannya salah sangka. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN