PETALING JAYA: Pelakon, Elisya Sandha, berpegang kepada prinsip berhati-hati membawa diri dalam industri hiburan sebagaimana yang telah dinasihatkan kakaknya, Fasha Sandha.
Jelas Elisya atau Nur Elisya Sandha Hassan, 25, pendirian itu akan menyelamatkannya daripada menjadi mangsa buli atau dipermainkan pihak tertentu.
“Sehingga hari ini saya selalu menjadikan kakak sebagai contoh selain banyak belajar daripadanya.
“Dia pesan, dalam industri ini kita mesti berdiri atas kaki sendiri selain kena tahu bertegas.
“Jangan biarkan orang buat kita (ditindas). Kalau kita baik sangat, orang akan pijak,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia baru-baru ini.
Walaupun terdapat pihak yang mengatakan karier Elisya seperti dibayangi kakak sendiri, pelakon Gemersik Berbisik itu bagaimanapun tidak berkecil hati.
“Memang dari dulu ada sahaja orang membandingkan saya dan kakak.
“Tapi saya tidak kisah kerana apa yang saya buat hari ini semua disebabkan pengaruhnya.
“Saya jadi pelakon hari ini pun sebab selalu tengok dia bekerja sejak kecil selain jaga masa dan sangat berdisiplin.
“Biarlah orang nak kata apapun, tapi saya percaya kami berdua ada keunikan masing-masing,” tambahnya yang kini sedang menjalani penggambaran untuk sebuah platform over-the-top (OTT).
Terkini, Elisya dilantik menjadi duta makanan tambahan, Gattox keluaran Inayah Beauty bersama pelakon Nora Danish.
Berkat sokongan pelakon itu, produk berkenaan berjaya mencapai sasaran RM15 juta sejak ia dilancarkan tahun lalu.