PETALING JAYA : Penyampai radio, Tyzo Xander, mengakui bahawa dia tidak berniat apa-apa ketika melafazkan ucapan terakhir kepada DJ Lin menerusi siaran langsung di TikTok sebelum meninggalkan konti radio Suria FM pada minggu lalu.
Sedar bahawa ucapan itu telah menjadi tular di media sosial, Tyzo, mendakwa ucapan “Kak Lin, terima kasih atas penganiayaan ini” merupakan kata-kata spontan yang keluar dari mulutnya sewaktu kejadian tersebut.
“Saya tak pandai sangat live TikTok, kebetulan benda tu tak dimatikan lagi. Demi Allah, memang benda tu (kata-kata kepada DJ Lin) terlafaz secara tak sengaja.
“Dan mungkin Tuhan berikan saya semangat untuk beritahu Kak Lin ‘terima kasih atas penganiayaan ini’.
“Saya tak sebut pun terima kasih Suria. Tiada. Di radio saya sebut yang sangat murni. Perkara itu berlaku secara spontan. Ia merupakan refleks selama seminggu lebih yang saya sudah cuba menahan rasa,” katanya.
Tyzo berkata demikian sewaktu ditemui dalam satu sidang media yang diadakan di sini, semalam.
Terdahulu, menerusi kenyataan media, khidmat Tyzo atau nama sebenarnya Tuah Zolqarnain Idris ditamatkan selepas lapan tahun bersama Suria FM.
Pengurus Besar stesen radio berkenaan, Roslinda Abd. Majid atau DJ Lin berkata, keputusan dibuat sebagai langkah merangka strategi dan perancangan baharu bagi 2024.
Tyzo pernah menyumbangkan khidmat di stesen Ultra FM dan Pi Mai FM, sebelum beralih ke Selangor FM.