KUALA LUMPUR : Selepas Malaysia, filem seram versi reboot berjudul Rahsia melakar satu lagi kejayaan apabila berupaya menembusi pawagam di Kemboja sejak 15 Januari lalu.
Bagaimanapun, untuk pasaran di Kemboja, filem terbitan Astro Shaw bersama Five Star Trading telah diterjemahkan dalam bahasa lokal iaitu Heir of the Black Magic.
Penerbit Eksekutif Rahsia merangkap Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Perniagaan Melayu Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, pihaknya berbangga dengan kejayaan tersebut yang menyaksikan satu lagi filem tempatan berupaya meraih perhatian penonton di luar negara.
“Alhamdulillah, sebuah lagi filem tempatan berjaya diangkat dan ditayangkan ke negara luar. Sebagai penerbit yang aktif di Malaysia, kami mengharapkan usaha ini dapat membuka peluang lebih banyak buat filem-filem kita untuk dibawa ke sana.
“Ia sekali gus merapatkan jurang karya tempatan di peringkat serantau di samping mampu mengembangkan jenama Astro Shaw di peringkat antarabangsa.
“Rahsia mempunyai jalan cerita yang universal dan elemen-elemen Nusantara yang diselitkan amat dekat dengan penonton Asia, jadi kami yakin ia mampu menepati cita rasa penonton di sana,”katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Tahun lalu, Rahsia telah berjaya mencatatkan kutipan pawagam RM6.2 juta.
Rahsia merupakan arahan Shamyl Othman, yang juga merupakan anak kepada pengarah filem asal iaitu Othman Hafsham manakala skrip pula ditulis oleh penulis hebat yang dikenali menerusi siri popular One Cent Thief, Alfie Palermo.
Rahsia membariskan pelakon Nabila Huda, Fikry Ibrahim, Eman Manan, Marsha Milan, Rashidi Ishak, Qistina Raisah dan ramai lagi.
Ia mengisahkan tentang Ramlah pulang bercuti ke rumah bapanya Tan Sri Karim sempena ulang tahun kelahiran beliau, bersama-sama suami serta dua anak mereka, Marina dan Saiful.
Namun, keadaan bertukar menjadi keruh apabila Saiful tiba-tiba hilang sewaktu mereka berkelah di tepi pantai.
Pihak polis yakin Saiful hilang, namun Ramlah mula diganggu kelibat anaknya. Mampukah Ramlah merungkai rahsia di sebalik kehilangan itu?