KUALA LUMPUR : Pelakon dan selebriti media sosial, Zahirah Macwilson memberi bayangan bahawa dia dan suaminya, aktor, Aiman Hakim, bakal menimang cahaya mata kedua pada tahun hadapan.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Zahirah yang berusia 28 tahun, berkongsi sekeping gambar imbasan bayi dengan kapsyen ringkas bertulis ‘tidak sabar menunggu tahun 2024’.
Perkongsian tersebut kemudiannya mengundang respons ramai pengikut termasuk rakan-rakan selebriti lain yang mnegucapkan tahniah buat Zahirah dan Aiman.
Antara selebriti yang turut menumpang gembira dengan berita tersebut termasuk Noor Neelofa, Hannah Delisha, Mira Filzah, Lisa Surihani, Siti Saleha, Amelia Handerson dan Elvina Mohamad.
Menerusi satu perkongsian di Instagram juga, Aiman turut meluahkan rasa syukur atas kurniaan tersebut buat keluarga kecilnya.
“2023 hampir ke penghujung. Tidak sabar untuk 2024. Jumpa awak nanti anak kedua. Syukur Alhamdulillah,” katanya.
Bagaimanapun Aiman tidak memaklumkan tempoh kandungan dan juga jantina anak keduanya.
Zahirah dan Aiman mendirikan rumah tangga pada 20 Februari 2020 dan dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Isaac Raees yang kini berumur dua tahun.