Penarikan lagu, pertukaran penyanyi bukan gimik - Penerbit SFMM38 - Utusan Malaysia

Penarikan lagu, pertukaran penyanyi bukan gimik – Penerbit SFMM38

SHAH ALAM 17 DISEMBER 2023 - Finalis dan Komposer Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 pada Separuh Akhir Muzik Muzik (SFMM) Ke-38 yang disiarkan secara langsung TV3 dari Studio 1, Glenmarie di sini, hari ini. / M Firdaus M Johari
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penerbit Semi Final Muzik Muzik 38 (SFMM38), Muhammad Sufian Che Isa, 52, menafikan penarikan lagu dan pertukaran penyanyi yang berlaku sepanjang acara itu berlangsung antara 15 hingga 17 Disember lepas sebagai perkara yang dirancang.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Sufian malah berkata, apa yang terjadi adalah perkara biasa yang sering kali berlaku pada setiap penganjuran SFMM.

“Yang berlaku sebelum dan selepas (SFMM) bukan gimik. Ia adalah masalah komunikasi yang timbul antara artis dengan syarikat rakaman, tidak membabitkan Media Prima.

“Pihak produksi telah dimaklumkan lebih awal sekiranya berlaku penggantian penyanyi untuk lagu yang dipertandingkan. Contoh penyanyi Black Hanifah, Faizal Tahir yang memaklumkan awal bahawa mereka tidak dapat mempersembahkan sendiri lagu masing-masing.

“Tentang Ernie Zakri pula, masalah berlaku sesama label. Begitu juga Sufian Suhaimi yang telah pun memberikan penjelasan berhubung penarikan dirinya. Jadi, komunikasi antara pihak produksi dengan artis dan syarikat rakaman semuanya, jelas,” katanya.

Terdahulu, SFMM38 terpalit pelbagai kontroversi disebabkan ramai penyanyi asal tidak menyanyikan lagu yang dipertandingkan, sebaliknya digantikan penyanyi lain.

Selain itu, Sufian bagaimanapun tidak menafikan bahawa pihak produksi mempunyai hak untuk menilai kelayakan penyanyi yang menggantikan penyanyi asal di pentas SFMM38.

“Bukanlah kuasa veto, tapi penilaian kami dibuat atas perbincangan. Syaratnya, asalkan penyanyi itu mampu menyampaikan lagu-lagu tersebut dengan baik,” katanya lagi.

Sebanyak 12 lagu berjaya mara ke Anugerah Juara Lagu ke 38 (AJL38) yang bakal berlangsung pada Mac tahun depan di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Lagu-lagu mara adalah Jangan Mati Rasa itu nyanyian Aina Abdul, Astana dipopularkan Ernie Zakri, Sutera nyanyian Aisha Retno, Santai oleh Faizal Tahir, Inilah JalanNya nyanyian Masdo dan Darah nyanyian Marsha Milan.

Turut layak ke AJL38 adalah Kalam nyanyian Shiha Zikir, Hasrat oleh Amir Jahari, Kucuma oleh Jamal Abdillah dan Wany Hasrita, Bintang oleh Hael Husaini, Waktu oleh Ziana Zain dan Hasif Upin, seterusnya Selagi Ku Ada nyanyian Nabila Razali dan Khai Bahar.

Kesemua lagu diadili oleh enam juri profesional iaitu Datuk Mokhzani sebagai Ketua Juri, LY, Helen Yap, Azmeer, Cat Farish dan Datuk Wah Idris.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN