KUALA LUMPUR: Pembangunan industri unsur nadir bumi (REE) dijadikan pemacu baharu ekonomi bernilai tinggi negara menerusi Belanjawan 2026.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan menyediakan peruntukan khusus bagi aktiviti pemetaan sumber REE bagi memastikan data lengkap dan tepat, sekali gus menarik pelaburan domestik dan antarabangsa.
Katanya, pembangunan industri hiliran, pemindahan teknologi dan penguasaan kepakaran tempatan menjadi fokus utama bagi memastikan nilai tambah mineral strategik ini dimanfaatkan sepenuhnya.
“Pada masa sama, dasar moratorium pengeksportan mentah REE yang berkuat kuasa sejak 1 Januari 2024 masih dikekalkan dengan matlamat untuk menarik pelaburan pada peringkat pertengahan dan hiliran.
“Pendekatan ini bertujuan mewujudkan ekosistem industri REE yang berdaya saing dan mampan serta menyumbang secara signifikan kepada pertumbuhan ekonomi negara,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat hari ini. – UTUSAN










