KUALA LUMPUR: Rang Undang-undang Perubahan Iklim Negara (RUUPIN) dijangka dibentangkan awal 2026 bagi memperkasa agenda perubahan iklim Malaysia.
Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, negara telah menyediakan pelbagai dasar dan pelan bagi memastikan sasaran sifar bersih 2050 dapat dicapai.
Katanya, antara inisiatif utama termasuk Nationally Determined Contribution 3.0 (NDC 3.0), Dasar Perubahan Iklim Negara 2.0 (DPIN 2.0), Pelan Adaptasi Kebangsaan Malaysia (MyNAP) dan Pelan Mobiliti Rendah Karbon.
“Pada masa ini, draf RUUPIN sedang dalam semakan Jabatan Peguam Negara (AGC). Antara tumpuan utama RUUPIN ialah peralihan kepada ekonomi rendah karbon, memperkukuh daya tahan negara terhadap perubahan iklim.
“Justeru, dengan adanya RUUPIN kelak, ia dapat menyumbang ke arah pengurangan pelepasan karbon melalui peruntukan perundangan yang jelas dan seterusnya membantu negara dalam mencapai sasaran sifar bersih menjelang 2050,” katanya ketika sesi penggulungan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2026 Peringkat Dasar di Dewan Rakyat, hari ini. – UTUSAN










