Sokong Palestin, saya lebih rela tak pakai barang berjenama - Shaheizy Sam - Utusan Malaysia

Sokong Palestin, saya lebih rela tak pakai barang berjenama – Shaheizy Sam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Shaheizy Sam mengakui sudah memulakan usaha memboikot jenama barangan yang disahkan menyalurkan dana kepada Israel terutama dalam hasratnya bersolidariti bersama saudara Islam di Palestin.

Menurut Sam yang berusia 41 tahun, dia percaya, tindakan itu sedikit sebanyak dapat menunjukkan bahawa kuasa pengguna juga mampu mengubah dunia dalam menentang kezaliman yang dilakukan oleh tentera zionis.

“Saya akui sudah memulakan tindakan memboikot mana-mana barangan atau jenama yang diketahui berpakat dan menyalurkan dana kepada zionis.

“Ada Syarikat tidak mengeluarkan sumbangan kepada mereka (zionis) tetapi syarikat tersebut membayar royalti kepada syarikat induk yang kita sendiri tidak tahu ke mana duit tersebut pergi.

“Kalau saya dapat tahu duit itu disalurkan untuk melakukan kebinasaan, saya akan berhenti menggunakannya (boikot). Dalam hal ini, saya lebih rela tak memakai barangan berjenama daripada menyokong tindakan kejam zionis,”katanya.

Sam berkata demikian semasa ditemui pada majlis tayangan filem La Luna di ibu negara, baru-baru ini.

Tambah Sam, dalam hal ini, dia tidak cuma bercakap atas dasar mahu meraih perhatian ramai kerana beranggapan sudah tiba masanya semua pengguna membuat pilihan bijak dan rasional dalam urusan berbelanja.

“Saya memang sedaya upaya memboikot produk-produk yang diketahui bersubahat. Saya ada senarai (pautan) syarikat yang menyalurkan dana kepada Zionis dan sentiasa kongsikan dengan pengikut dalam media sosial.

“Saya anggap perkara begitu penting (memboikot jenama yang menyalurkan dana kepada Israel). Jangan fikir tentang negara lain.

“Fikir tentang hati sendiri. Sekecil-kecil jumlah walaupun cuma RM100, sebenarnya boleh memudaratkan,” katanya.

Pada masa sama, Sam turut berharap langkah yang dilakukan itu sedikit-sebanyak dapat membantu menyokong industri tempatan untuk terus berkembang.

“Kalau sebelum ini, saya bangga dapat pakai barangan mewah seperti Chanel. Tetapi apabila jenama itu baru-baru ini ada ‘campak’ AS$1 juta untuk kegunaan Zionis, memang saya rasa sakit hati.

“Jadi sekarang, tidak kisah lagi jika tidak dapat memakai barangan berjenama atau produk yang ‘wow’ sebab saya tahu tindakan yang saya lakukan ini betul dan baik.

“Pada masa sama, saya juga berharap tindakan memboikot ini dapat membuka mata masyarakat untuk menyokong industri tempatan. Insya-Allah,”katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN