KUALA LUMPUR: Pelakon, Beto Kusyairy, 43, terlibat dalam kemalangan motosikal semasa menyertai konvoi Solidariti Wings Motogang Society ke Masjid Negeri Ipoh, Perak, semalam.
Keadaannya dilaporkan berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kecederaan teruk.
Sahabatnya, Azhan Rani, ketika dihubungi Utusan Malaysia berkata, Beto telah mendapat pemeriksaan dan rawatan di hospital Ipoh selepas dibawa oleh pasukan konvoi terbabit dan dibenarkan pulang malam semalam.
“Setakat ini, Beto tidak mengalami sebarang kecederaan teruk.Tidak patah pada mana-mana bahagian, cuma belakang badannya ada sedikit bengkak. Namun masih lagi okey. Luka teruk pun tiada.
“Alhamdulillah, dia telah diuruskan dengan baik oleh pasukan konvoi terbabit. Dia pun telah dibenarkan pulang ke Kuala Lumpur, malam semalam.
“Saya nak cakap lebih lanjut pun, saya tidak ada dengannya semasa kejadian. Cuma,dia ada beritahu rasa syukur sebab semasa kejadian, dia bernasib baik kerana memakai sut keselamatan dan topi keledar penuh (full space),”katanya.
Selain itu, kata Azhan, Beto menerusinya, memohon maaf kerana tidak dapat menjawab sebarang pertanyaan daripada semua pihak dan berharap diberikan sedikit ruang waktu untuk berehat.
“Dia mohon saya sampaikan kepada semua pihak supaya berikan dia tempoh bertenang sekejap. Dia mohon maaf sangat. Sekarang dia sedang berehat di kediamannya di ibu negara,”katanya.
Sementara itu, pada masa yang sama, Azhan dan Beto turut meminta semua pihak supaya mendoakan keselamatan seorang lagi peserta konvoi yang terlibat dalam kemalangan tersebut.
Menurut Azhan, peserta tersebut antara yang kritikal dan kini difahamkan sedang menjalani pembedahan di hospital di Ipoh.
Terdahulu, Beto dikhabarkan terlibat dalam satu kemalangan di Utara Selatan berhampiran Ladang Bikam, selepas motorsikal yang ditunggang bintang filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu terjatuh akibat bergesel dengan motosikal lain yang memasuki laluannya secara tiba-tiba.
Insiden tersebut dikongsi pengurus vokalis Wings Datuk Awie, Shahrul Nizan Ramli yang memaklumkan dua peserta konvoi, termasuk Beto kini dirawat di Hospital Tapah.
Difahamkan, seramai 60 peserta Solidariti Wings Motogang Society yang diketuai Awie bergerak dari Kuala Lumpur menuju Ipoh sekitar pukul 4 petang semalam (Isnin).
Menurut Shahrul Nizan, kemungkinan jalan licin akibat hujan lebat sepanjang perjalanan menjadi antara faktor kemalangan tersebut berlaku. – UTUSAN