KUALA LUMPUR : Presiden Majlis Usahawan Nasyid Malaysia (Munsyid Malaysia), Muhamad Che Razin Che Mud memaklumkan keadaan bekas anggota Inteam, Suhaimi Saad merosot sejak tengah hari tadi.
Kata Razin yang juga anggota Mestica, keadaan Suhaimi pada awalnya dilihat positif pada sebelah pagi namunberubah bermula tengahari tadi.
“Saya dimaklumkan pagi tadi bacaan oksigennya menunjukkan tanda-tanda positif namun merosot pada tengah hari.
“Kami sahabat-sahabatnya di sini mendoakan agar keadaannya kembali pulih dan sihat seperti sedia kala,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Suhaimi yang beberapa hari lalu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Johor telah ditidurkan dan bergantung alat pernafasan.
Dia yang juga suami kepada Ina Naim disahkan mengalami jangkitan paru-paru dan selain mengalami batuk kronik dan cirit birit sejak beberapa bulan lepas.
Razin pada masa yang sama memaklumkan pihaknya telah menggerakkan kutipan dana untuk disumbangkan kepada keluarga Suhaimi.
Ujarnya, sumbangan tersebut akan terus disalurkan ke akaun bank milik isteri Suhaimi.
“Di peringkat Munsyid, kami telah kutip sumbangan dari ahli persatuan ini yang bermula secara rasminya kelmarin untuk disalurkan terus kepada isteri Suhaimi, Ina Naim.
“Selain kutipan, Munsyid juga akan beri sumbangan untuk diserahkan kepada Ina,” kongsinya.
Suhaimi merupakan bekas anggota In-Team yang mengundurkan diri dari kumpulan itu pada tahun 2005.
Dia mendirikan rumah tangga dengan Ina pada Ogos 2007. Pasangan itu dikurniakan empat cahaya mata termasuk Ahmad Hadie Elfardie, Sallman Elkhoyri, Phyrosh Elfadwah dan Nur Layla Elghufrony.