Jenama kopi popular diboikot, Fazley Yaakob akui tak terkesan - Utusan Malaysia

Jenama kopi popular diboikot, Fazley Yaakob akui tak terkesan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Penyanyi dan Chef Selebriti, Datuk Fazley Yaakob,45, mengakui tiada masalah untuk meneruskan kerjasama dengan sebuah jenama kopi antarabangsa popular yang diboikot ramai pengguna kini susulan isu kononnya jenama tersebut menyokong Israel dalam pergolakan di Palestin.

Menurut Fazley, dia sudah membuat kajian terperinci mengenai setiap jenama yang mahu menjalin kerjasama dengannya sama ada sebagai duta ataupun jurucakap.

“Saya tahu jenama kopi terbabit milik rakyat Malaysia. Mereka juga ada membuat sumbangan RM1 juta kepada Palestin dan memiliki pekerja-pekerja tempatan.

“Saya tiada masalah kerana mereka juga tidak di dokong syarikat berasaskan dari luar negara. Bagi saya, asalkan syarikat itu bertempat di Malaysia dan tahu hala tuju mereka, saya masih tetap menjalankan tugas sebagai chef.

“Juga sebagai wajah (jenama) untuk memastikan bahawa pekerja-pekerja, orang yang membeli yakin dengan produk ada,” katanya sewaktu ditemui di Restoran Suka Sucre, di sini, kelmarin.

Pada masa yang sama, Fazley yang bertindak sebagai chef membekal juadah menu tempatan untuk rangkaian kopi terbabit bersyukur tidak terkesan dengan kontroversi itu sehingga memaksanya untuk mengundur diri.

“Setakat ini secara peribadi saya tidak terkesan. Saya menanti juga jika ada hentaman-hentaman dalam Instagram. Tapi alhamdulillah, pengikut saya pun tahu latar belakang saya.

“Mereka pun membuat kajian terperinci untuk menilai sama ada hentam, sokong, boikot, ataupun tidak.Kalau nak mengundur diri pun perlu mengikut kontrak.

“Saya diikat dengan kontrak dan selagi tidak ada bukti, fakta, kenyataan daripada pihak syarikat bahawa mereka menyokong pihak-pihak tidak sepatutnya, saya rasa tiada masalah untuk bekerjasama,” katanya.

Fazley juga memberitahu, dia pasti masih ramai kalangan pengguna dan masyarakat yang tidak tahu tugas dan pengalamannya sebagai juruaudit dan bukan semata-mata chef selebriti.

Berikutan itu, katanya, tugas itu memerlukanya untuk melakukan audit jenama-jenama tertentu sebelum bekerjasama.

“Apabila saya jadi duta jenama-jenama yang kononnya sensitif dan orang persoalkan, saya sudah buat kajian. Sudah tentu nombor satu, kebolehan mereka mentadbir keadaan politik semasa.

“Kedua, adakah banyak pekerja tempatan berkhidmat? Ketiga, adakah mereka menyokong sebulan suara atau sekadar lontarkan sokongan dalam konteks netizen.

“Apabila bekerjasama dengan produk-produk antarabangsa dan tempatan, yang penting adalah memastikan kelangsungan bisnes tempatan. Bermakna kalau syarikat terbabit milik tempatan 100 peratus dan pekerjanya rata-rata rakyat Malaysia, saya tiada masalah,” katanya.

Pada tahun lalu, Fazley mengikat kerjasama dengan Starbucks Malaysia untuk memperkenalkan menu baharu dipilih merangkumi elemen klasik digemari ramai dan ‘street food’ kegemaran yang terkenal.

Berjaya Starbucks Coffee Company Sdn Bhd dimiliki syarikat tempatan iaitu Berjaya Food Berhad.

Baru-baru ini, syarikat itu menyumbang RM1 juta untuk kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya