Jangan salahkan Janna, dia cuma berlakon - Nadiya Nisaa - Utusan Malaysia

Jangan salahkan Janna, dia cuma berlakon – Nadiya Nisaa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pelakon, Nadiya Nissa, 38, tidak menyalahkan Janna Nick yang dikecam ramai gara-gara sanggup melontarkan dialog biadap ketika menjayakan watak lakonannya untuk drama berjudul Surat Dari Tuhan.

Kata Nadiya, dia juga faham mengapa perkara itu diangkat menjadi isu oleh orang ramai terutama penonton beragama Islam memandangkan penggambaran drama itu juga diadakan di Tanah Suci Mekah.

“Usahlah menyalahkan pelakon itu secara total. Setiap pelakon menggalas tanggungjawab masing-masing dan disitulah cabarannya. Di mana sahaja sama ada tempat suci atau paling kotor, seorang pelakon kena pergi dan kena laksanakan tugas yang dipertanggungjawabkan.

“Ketika berlakon itu pun, apa sahaja perbuatan kita terletak pada niat. Sama juga bila saya menjayakan drama Adam dan Hawa, saya berpeluang menjejakkan kaki di Tanah Suci. Walaupun tahu kita seolah-olah menceroboh sebab mana boleh ‘shoot’ di hadapan, tapi apa niat kita?

“Saya tak boleh nak menyifatkan niat saya bagus atau tidak. Tapi, Alhamdullilah drama Adam dan Hawa masih memberi kesan walaupun sudah 10 tahun,”katanya.

Tambah Nadiya, dia juga secara peribadi berasa terharu kerana sehingga ke hari ini, masih ramai kalangan penonton mengingati babak lakonannya ketika di Mekah.

“Bahkan, ada yang pernah beritahu saya, bila dia tengok babak tersebut, rindunya terhadap Mekah seakan terubat. Tak dapat pergi ke sana sekurang-kurangnya dapatlah tengok menerusi televisyen.

“Jadi, itu terletak pada penilaian masing-masing. Dalam isu yang dibahas ramai ini, saya pun tak boleh nak komen lebih, sebab ia terletak pada niat.Tetapi, jangan salahkan Janna, dia cuma berlakon,” katanya.

Nadiya berkata demikian semasa ditemui selepas tayangan perdana filem La Luna di ibu negara, baru-baru ini.

Selain itu, Nadiya juga mengakui tidak mahu menyalahkan mana-mana pihak di sebalik tabir drama kontroversi itu kerana percaya produksi mahu menyampaikan mesej berguna kepada penonton.

“Kalau merasakan sesuatu yang ‘off’, dia takkan nak menjayakan babak ini. Tapi, Janna mungkin merasakan ia perlu, jadi dia berusaha lakukannya.

“Pada penghujungnya, kita semua tidak bodoh dan ada niat baik dalam menyampaikan mesej berguna kepada penonton.

Terdahulu, Janna memegang watak Misha, seorang menantu jahat yang sanggup mendera ibu mentua dalam drama terbitan TV3 tersebut.

Janna mengaku watak Misha dalam drama siaran slot Samarinda TV3, setiap Isnin hingga Khamis itu menjadi karakter paling jahat pernah dilakonkan di kaca tv.

Drama Surat Dari Tuhan mengisahkan dugaan melanda hidup Ryan lakonan Shukri Yahaya yang berkahwin dengan Misha yang bersifat talam dua muka.

Minggu lalu, sedutan drama itu tular di media sosial dan memaparkan babak antara Misha sedang memarahi ibu mentua dalam bilik hotel ketika sedang menunaikan umrah.

Babak itu mendapat kecaman netizen dan rata-rata mempersoalkan pelakon dan pengarah drama kerana bersetuju untuk menggunakan dialog tersebut di Tanah Suci.

Drama arahan Pali Yahya dan terbitan Mache All Star United Sdn Bhd itu turut dibintangi Ummi Nazeera, Sheila Mambo, Trisha Ooi, Wanns Ahmad dan ramai lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN