KUALA LUMPUR: Pelakon dan usahawan, Noor Neelofa Mohd. Noor, 34, berharap wujud ruang perdamaian antara dia dan pelakon, Nur Fazura, selepas berlarutan mengharungi konflik antara mereka sejak bertahun-tahun lamanya.
Kata Neelofa, kini masanya persengketaan antara mereka, yang berpanjangan selama berbelas tahun ditamatkan bagi membolehkan keduanya melangkah ke fasa baharu.
“Saya mahu letak titik noktah terhadap semua ini. Kalau dikira sudah berbelas tahun, takkan nak tunggu sampai puluhan tahun baru nak berhenti.
“Kalau saya diberi ruang dan peluang untuk berdamai dan berbaik (dengan Fazura) dan melupakan isu-isu yang lepas, saya sambut dengan hati yang lapang, Insya-Allah.
“Saya rasa Fazura juga akan buat perkara yang sama. Masing-masing pun sudah ada keluarga dan anak. Jadi saya nak letakkan benda-benda yang lepas jauh ke belakang,” katanya pada sidang media Moma x Nelelofa, petang tadi.
Neelofa diminta memberi pandangan tentang dakwaan yang mengaitkan peminatnya bertindak menimbulkan tuduhan kononnya Fazura pergi ke kelab malam dengan memakai topi dan berhoodie.
Kata Neelofa lagi, dia berharap agar segala kebaikan yang bakal terjadi antara dia dan Fazura dijadikan contoh dan iktibar kepada peminat masing-masing.
“Bukanlah nak kata nak jadi Best Friend Forever (BFF) dan sebagainya, tidak. Cukup sekadar kami membuka lembaran baharu.
“Moga dengan ini peminat masing-masing dan netizen dapat kebaikan daripada apa yang kami buat dan tinggalkan,” kongsinya.