KUALA LUMPUR : Penyanyi Indonesia, Cakra Khan, 31, mengakui pelik apabila ramai kalangan peminatnya dari Malaysia bertanya mengenai pizza wagyu di video nyanyian yang dikongsikannya di media sosial.
Menurut penyanyi Kekasih Bayangan itu, dia tidak pandai membuat pizza namun handal jika memasak hidangan berbentuk sambal.
Dia juga tidak mengetahui namanya disamakan dengan wajah seorang pembuat pizza yang juga pempengaruh di Malaysia.
“Sebenarnya ramai yang komen bertanya mengenai pizza wagyu. Saya juga aneh.
“Saya tidak pandai buat pizza. Tapi kalau mahu masak sambal, saya handal,” katanya berseloroh.
Cakra ditemui Utusan Malaysia di sidang media Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur, di Hard Rock Cafe, semalam.
Ditanya mengenai hobi kesukaan penyanyi itu ketika mempunyai masa terluang, Cakra mendedahkan sedang mengusahakan sebuah pusat jagaan kucing terbiar.
“Saya sekarang menjaga 12 ekor kucing terbiar. Kalau saya berjalan dan terjumpa kucing, saya akan bawa pulang dan jaga.
“Sekarang saya tengah kumpul duit untuk bina pusat jagaan sendiri. Saya ada dua orang penjaga untuk memantau keadaan kucing-kucing jika saya mempunyai urusan kerja,” tambahnya.
Dalam perkembangan lain, Cakra bakal mengadakan Konsert A Decade Cakra Khan Live In Kuala Lumpur 2.0 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 Februari tahun hadapan.