SEOUL: Dedikasi dan disiplin yang ditunjukkan pelakon terkenal Korea Selatan, Park Min Young, 37, sememangnya tidak boleh disangkal apabila sanggup menurunkan berat sehingga 37 kilogram demi projek drama terbaharunya.
Berita itu dikongsikan Instagram syarikat penyiaran negara itu, TVN, yang memaparkan Min Young menerusi watak Kang Ji Won, seorang wanita yang menghidap kanser dalam drama berjudul ‘Marry My Husband’.
‘Marry My Husband’ merupakan sebuah drama adaptasi daripada novel web negara itu menceritakan seorang wanita penghidap kanser yang dibunuh selepas menyaksikan suaminya mempunyai hubungan sulit dengan rakan baiknya sendiri.
Keajaiban berlaku apabila dia kemudian diberi kesempatan untuk kembali ke 10 tahun lalu dan memulakan hidup baru.
Walaupun ramai yang memuji usaha pelakon itu, namun menerusi gambar terbaharu Min Young yang memaparkan pipinya yang cengkung turut mengundang perhatian warganet dengan rata-ratanya menyatakan kerisauan mengenai keadaan pelakon itu.
“Berat badan 37 kilogram terlalu drastik untuk seseorang yang sudah berusia. Semoga dia dapat berat badannya yang asal kembali,” tulis satu komen.
“Sangat bahaya untuk kesihatannya, perlukah syarikat televisyen buat permintaan seperti ini yang sangat berisiko?” kata komen yang lain.
“Dia nampak sangat sakit. Rasanya guna efek solekan sahaja sudah boleh nampakkan yang dia tidak sihat, tidak perlu sampai turunkan berat sebanyak itu,” kata seorang peminat.
Drama ‘Marry My Husband’ akan mula ditayangkan di TVN bermula Januari tahun hadapan.