Banyak yang rugi jika konsert Coldplay batal - Utusan Malaysia

Banyak yang rugi jika konsert Coldplay batal

KONSERT Coldplay di Stadium Nasional, Bukit Jalil dijadual pada Rabu depan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak diminta tidak mempolitik atau berburuk sangka dengan pe­nganjuran konsert Coldplay yang bakal berlangsung di Bukit Jalil Rabu depan.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Muzik Malaysia, Ayob Abd. Majid mempersoalkan niat Majlis Ulama ISMA (Muis) yang mencadang­kan agar konsert Coldpalay dibatalkan.

“Saya melihat isu Coldplay ini sengaja dipolitikkan oleh pihak pembangkang. Sedangkan sejak beberapa bulan lepas banyak konsert berlangsung. Bahkan ketika pandemik semasa ramai yang meninggal, dunia kita juga mengadakan konsert.

“Mengapa waktu itu tiada pihak yang bising? Mungkin ketika itu Palestin belum perang seteruk hari ini.

“Ketika ini juga ada banyak konsert lain sedang berlangsung. Di Pantai Timur banyak acara hiburan seperti dikir barat. Namun mengapa Coldplay yang disentuh?” soalnya.

Ayob turut meminta Muis berbaik sangka dengan pe­ngunjung ke konsert Coldplay kerana apabila mereka hadir tidak bermakna mereka tidak peduli mengenai Palestin.

“Sejak perang di Palestin semakin parah, ada banyak konsert yang mengadakan kutipan derma atau dimulakan dengan doa untuk rakyat di sana.

“Di luar negara, ada banyak konsert yang menyelitkan mesej tentang Palestin. Lagu-lagu Coldplay pula banyak bercerita tentang keamanan. Mereka yang hadir pula mungkin pernah menyertai solida­riti untuk Palestin sebelum ini. Jadi, berbaik sangka sahajalah.

“Pergi konsert Coldplay bukan bermakna kita tidak menghormati atau tidak menyokong Palestin. Janganlah taksub politik sampai isu se­perti ini pun hendak dimainkan,” tambahnya.

Pembatalan konsert nama besar seperti Coldplay tidak hanya memalukan negara, malah, ramai yang terpaksa menanggung kerugian apalagi persediaan sudah dilakukan enam bulan sebelum konsert.

“Isu ini hanya akan me­rugikan penggiat seni. Setiap konsert memakan masa enam bulan untuk melakukan persediaan. Jika ia dibatalkan, ada banyak risiko yang harus ditanggung oleh penganjur dan juga ia memalukan negara.

“Ramai yang mendapat kebaikan dari sudut ekonomi daripada konsert artis luar negara. Ia termasuk pekerja kru dalam kalangan rakyat Malaysia, peniaga, pemandu e-hailing, dan juga pengusaha hotel. Jadi, jangan kita politikkan,” tegasnya.

Sebelum ini, Pengerusi Muis, Datuk Zamri Hashim menggesa agar konsert Coldplay yang bakal berlangsung pada Rabu depan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur dibatalkan.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN