KUALA LUMPUR : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 50, kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil setelah dimasukkan ke sebuah hospital swasta di Kajang, Selangor akibat mengalami sesak nafas, semalam.
Perkara itu disahkan oleh anak sulungnya, Syakir Iman, 30, ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.
Menurut Syakir, ibunya berada dalam keadaan terkawal selepas menerima rawatan intensif namun masih berada dalam pemantauan pihak hospital.
“Atas permintaan keluarga juga, kami mohon pihak hospital berikan rawatan sebaiknya kepada ibu. Alhamdulillah, setakat ini dia berada dalam keadaan stabil, cuma masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Semalam, ibu juga telah menjalani pemeriksaan pengimejan resonans magnetik (MRI). Kita masih menunggu keputusannya. Selain itu, hari ini, ibu juga perlu jalani beberapa pemeriksaan intensif lainnya,”katanya.
Jelas Syakir, Nora juga telah dimasukkan ke hospital sejak Isnin minggu lalu di sebuah hospital lain di Bandar Baru Bangi, Selangor selepas mengadu sakit.
Kata Syakir, pada awalnya, doktor di hospital tersebut mengesyaki Nora mengalami demam denggi namun selepas pemeriksaan dilakukan, penyanyi tersebut dirawat untuk penyakit yang berbeza.
“Jumaat lalu, dia telah dibenarkan keluar hospital. Tetapi, pada Sabtu lalu, dia mengadu sakit pada bahagian rahim dan kami bawa terus ke sebuah hospital swasta lain di Kajang.
“Hasil pemeriksaan, dia dirawat untuk penyakit lain. Pagi Ahad lalu, ibu tiba-tiba sesak nafas dan selepas diperiksa, doktor maklumkan ia berkaitan dengan paru-paru berair,”katanya.
Bagaimanapun, kata Syakir, keadaan itu masih dalam kategori minor dan masih terkawal.
Semalam, suami penyanyi tersebut, Dr Rushdi Ramli, memaklumkan di Instagram mengenai keadaan Nora yang terpaksa dikejarkan ke sebuah pusat perubatan swasta di Kajang, Selangor akibat sesak nafas.
Rushdi dalam mesej berkenaan memohon agar orang ramai dapat mendoakan kesejahteraan isterinya itu.