Pengarah terkilan, banyak babak dalam filem Tiger Stripes dipotong - Utusan Malaysia

Pengarah terkilan, banyak babak dalam filem Tiger Stripes dipotong

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR : Pengarah, Amanda Nell Eu, terkilan apabila naskhah filem Tiger Stripes yang ditayangkan di pawagam telah melalui proses tapisan sehingga menghilangkan mesej penting yang ingin dibawa dalam filem berkenaan.

Menurutnya, babak yang ditapis dan dikeluarkan itu menunjukkan bagaimana seorang kanak-kanak perempuan bergelut dalam mengenal identiti dirinya.

“Saya sangat berterima kasih dan gembira melihat orang ramai turut teruja menyaksikan Tiger Stripes.

“Filem ini dihasilkan dengan mengambil inspirasi daripada rakyat Malaysia sekali gus menjadikan masyarakat kita sebagai target penonton. Sudah semestinya tayangan filem ini di tanah air sendiri adalah pengalaman yang cukup berharga buat saya.

“Namun, malangnya, saya tidak bersetuju dengan versi naskhah yang ditayangkan hari ini kerana telah melalui pemotongan beberapa babak penting,” katanya dalam satu kenyataan di Instagram rasmi miliknya.

Menurut pengarah itu lagi, dia tidak berniat menyelar tindakan yang dilakukan Lembaga Penapisan Filem (LPF), namun menegaskan bahawa apa yang dipaparkan di pawagam hari ini bukanlah naskhah asal yang berjaya merangkul anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes, Mei lalu.

“Babak yang telah ditapis di dalam filem ini menunjukkan kegembiraan menjadi seorang gadis muda di Malaysia. Gadis ini berbeza dan sering disalah faham.

“Gadis ini mempunyai keinginan untuk mengekspresikan diri dengan cara berbeza daripada orang lain. Sangat mengecewakan apabila babak gadis ini dibuang daripada tontonan umum.

“Walaupun kami memahami dan menghormati sensitiviti negara ini, namun kami berharap agar lebih banyak peluang dan kebebasan diberikan untuk membincangkan sesuatu perkara secara terbuka tanpa harus menghukum antara satu sama lain, atau menyembunyikan sesuatu perkara hanya kerana kita takut bercakap mengenainya,” tambahnya.

Bukan itu sahaja, Amanda menambah, dia dan rumah produksi, Ghost Grrrl Picture percaya kepada kuasa seni yang boleh mengajak masyarakat berfikir secara kritis khususnya melalui filem.

“Kami percaya kepada kuasa seni yang boleh membuka dan mengajak lebih banyak perbincangan secara sihat dengan mendengar pelbagai pendapat, serta mempelajari dari satu sama lain.

“Kami berpendapat, seni adalah cara terbaik untuk menyuarakan dan mempersoalkan sesuatu perkara. Kami percaya penonton di Malaysia sudah cukup matang untuk membuat keputusan berdasarkan pilihan mereka secara kritis,” katanya.

Sebelum ini, Malaysia melakar sejarah apabila memenangi anugerah utama pada Minggu Kritik Festival Filem Cannes sempena Festival Filem Cannes.

Tiger Stripes juga menjadi filem Malaysia pertama yang layak menerima undangan ke festival tersebut dalam tempoh 13 tahun selepas Kaki Bakar ( U-Wei Saari), Karaoke (Chris Chong Chan Fui) dan The Tiger Factory (Woo Ming Jin).

Filem tersebut kemudian dipilih mewakili Malaysia bagi kategori Filem Cereka Antarabangsa Terbaik, Anugerah Akademi (Oscars) Ke-96 pada Mac tahun depan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN