KUALA LUMPUR: Pelakon, Nadhir Nasar tidak takut disekat atau tidak menerima tawaran daripada mana-mana pihak berikutan kelantangannya berhubung isu Palestine.
Jelas Nadhir atau Ahmad Nadhir Ahmad Nasar, 27, status sebagai selebriti yang mempunyai pengaruh tersendiri harus digunakan sebaik mungkin bagi menyebarkan kebenaran.
“Kalau ada yang rasa takut disekat oleh mana-mana jenama, apa yang saya boleh katakan semua itu hanya sementara. Apa yang kita miliki ini sementara sahaja.
“Jadi perjuangan yang saya buat ini adalah untuk perjalanan sendiri lebih jauh lagi. Sampai bila mereka akan sekat kita?
“Saya ada platform dan pengaruh untuk cakap perkara yang benar. Tak perlu takut hilang punca rezeki,” katanya.
Nadhir ditemui ketika majlis sidang media drama terbaharu lakonannya berjudul My Famous Ex-Boyfriend yang turut menampilan Hael Husaini dan Qasrina Karim.
Kongsi Nadhir lagi, dia akan tegas berpeganv kepada prinsip lantang bersuara sebagai satu cara perjuangan membela mangsa kekejaman regim Zionis.
“Apa lagi yang boleh saya buat? Kalau nak pergi berperang, adakah iman saya sudah cukup kuat? Adakah saya boleh selamatkan mereka?
“Jadi ini sahaja cara saya untuk tunjukkan sokongan terhadap saudara Islam di sana yang ketika ini sedang menderita,” ujarnya.
Dalam masa sama, Nadhir tidak menghukum mana-mana pihak yang memberi sokongan hanya ketika isu perang sedang hangat diperkatakan.
“Tak kisahlah seseorang selebriti untuk sokong bermusim. Buat baik sedikit pun sudah cukup daripada tidak melakukan apa-apa.
“Siapa yang tak buat apa-apa tindakan itu lebih teruk,” jelasnya.