PETALING JAYA: Pendakwah selebriti, Abu Sufyan, atau PU Abu memberi bayangan bahawa perkahwinannya dengan dua isteri sudah berakhir.
Menerusi perkongsian di Instastory, Muhammad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi, 29, berkata, pelbagai usaha untuk menyelesaikan kemelut rumah tangganya sepanjang enam tahun telah dilakukan namun semuanya menemui jalan buntu.
Katanya, setelah berbincang, dia dan kedua-dua isterinya, Ain Afini dan Hana Azraa memilih untuk membawa haluan masing-masing.
“Demi kebaikan semua, kami bertiga akan bawa haluan masing-masing. Tidak ada lagi kebaikan dan kata sepakat yang dapat dicapai.
“Ini adalah keputusan kami bertiga setelah cubaan demi cubaan dilalui. InsyaAllah, semuanya akan melalui proses yang betul. Doakan yang terbaik buat kami.
“Terima kasih yang mesej dan mendoakan yang baik-baik. Tidak kurang juga pada mereka yang masih meninggalkan kata yang tidak baik. Di mana silapnya? Saya silapnya,” katanya.
Abu turut mengakui berasa bersalah kerana tidak mampu memberi kebahagiaan untuk kedua-dua isterinya sepanjang perkahwinan.
Tidak mendedahkan apakah alasan sebenar perpisahan, bapa kepada lima orang anak itu mendoakan agar Hana dan Ain Afini akan bertemu dengan lelaki yang menyayangi mereka.
“Sekiranya mereka tidak berasa bahagia, apakah perlu saya membiarkan mereka terus sengsara?
“Bukan soal sering ditinggalkan atau jarang ditinggalkan sahaja, tetapi banyak hal yang tidak boleh diceritakan dan disalah erti oleh sebahagian pihak.
“Doakan jodoh yang terbaik buat mereka, yang setia, boleh di samping mereka 24 jam dan paling penting mereka cintai setulus hati,” katanya.
Sebelum ini, nama pendakwah ini hangat diperkatakan apabila bertindak menceraikan isteri pertama, Ain Afini menerusi WhatsApp ketika wanita itu sedang sarat hamil anak pertama mereka, demi memilih untuk bernikah dengan seorang janda, Hana Azraa.
Sebelum diceraikan, Ain mendakwa suaminya pernah meminta untuk setuju berpoligami, namun permintaan itu ditolak disebabkan mereka baru dua bulan bernikah.
Bagaimanapun, jodoh Hana dan Abu tidak panjang apabila mereka bercerai pada April 2020 dan rujuk semula kira-kira dua tahun lalu.