SHAH ALAM: Penyanyi dan juri program Famili Duo, Mas Idayu, 51, merancang untuk membawakan karakter lemah lembut sepanjang memberikan kritikan kepada peserta untuk musim ini.
Menurut juri dengan nama sebenarnya, Mas Idayu Mesnun, dia sedar bahawa tidak semua peserta boleh menerima kritikan pedas seperti yang terjadi kepada Sissy Imann sebelum ini.
“Saya cuba untuk menjadi sedikit lemah lembut tapi sukar, saya macam jadi orang lain. Ada orang yang boleh terima kritikan pedas, ada yang tidak boleh. Saya cuba jadi begini agar semua orang boleh dengar kritikan saya.
“Namun kalau sudah jadi baik, peserta asyik ulang kesalahan yang sama, saya naik darah juga,” katanya.
Mas Idayu ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert minggu pertama Famili Duo di Glenmarie baru-baru ini.
Mas turut mengingatkan para peserta sudah mempersiapkan mental dan terbuka menerima kritikan profesional daripada barisan juri.
“Peserta jangan fikir yang mereka sudah bagus. Jika mereka ada rasa seperti itu, jangan masuk pertandingan. Duduk sahaja dan tunggulah tawaran atau undangan persembahan,”katanya.
Penyanyi Robek Hatiku itu turut menegaskan bahawa setiap komen yang diberikan tidak berniat menjatuhkan sebaliknya merupakan teguran ikhlas setelah 35 tahun berkecimpung dalam dunia hiburan.
“Dalam pertandingan ini saya kakak dan awak (peserta) adik, kena dengar cakap kakak. Saya sudah 35 tahun di dalam industri dan banyak benda yang saya pelajari sendiri.
“Jadi, jika juri beri komen, itu datang daripada pengalaman kami. Peserta kena dengar lagipula markah mereka ada di tangan juri,” katanya.