Cukai hiburan makin rendah, tiket konsert lebih murah? - Utusan Malaysia

Cukai hiburan makin rendah, tiket konsert lebih murah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERANCANGAN kerajaan untuk menurunkan duti hiburan kepada sifar bagi artis tempatan dan 25 peratus kepada 10 peratus untuk artis antarabangsa disambut baik oleh penggiat seni tanah air yang bertahun-tahun mengeluh tentang isu ini.

Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil akhirnya melihat kewajaran pelaksanaan cukai ini ditimbang semula serta kepentingannya kepada kemajuan ekonomi negara menerusi pelancongan.

Walaupun masih diperingkat cadangan dalam pembentangan Belanjawan 2024, para penganjur konsert bercampur baur antara perasaan lega dan gusar mengenai cadangan ini.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Yolo Asia, Ib Harun, sekiranya jumlah cukai hiburan baharu ini ingin dijalankan, kerajaan mungkin menghadapi cabaran untuk melaksanakan peraturan ini di seluruh negara kerana arahan ini hanya terpakai di Kuala Lumpur sahaja.

“Kerajaan perlu ambil berat beberapa perkara seperti memastikan semua penganjur dibayar harga yang sama tanpa memberi layanan dua darjat kepada sesetengah penganjur.

“Mereka juga perlu konsisten melaksanakan perkara ini kerana kami pernah berhadapan situasi di mana adakalanya kami diminta membayar cukai, namun adakalanya tidak.

“Kita perlu memastikan penganjur terbiasa dengan arahan baharu ini. Jadi kerajaan kena pastikan arahan ini berjalan dalam tempoh yang lama bagi mengelakkan usaha ini tiba-tiba dirombak di tengah jalan,” katanya.

Menurut Ib lagi, walaupun usaha kerajaan menurunkan cukai hiburan perlu dipuji, namun Malaysia masih ketinggalan mengenai pembayaran cukai hiburan berbanding negara jiran di rantau ini.

“Pengurangan cukai hiburan adalah langkah yang baik dilakukan kerajaan. Namun begitu, jika hendak dibandingkan dengan negara serantau, kita mungkin masih ketinggalan kerana kebanyakan negara telah memansuhkan terus cukai hiburan.

“Penganjur hanya perlu membayar cukai perkhidmatan sahaja,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Bagi pengasas Hastag Media, Mohd Zulhelmie Zullifan bersyukur kerana apa yang dirintihkan di media sosial akhirnya didengari pihak kerajaan. Jumlah cukai hiburan yang baharu dicadangkan ini akan memberi kelebihan kepada penganjur untuk mengadakan lebih banyak konsert di Kuala Lumpur.

Namun begitu, pembeli tiket harus faham bahawa pengurangan cukai hiburan tidak bermaksud harga tiket konsert akan jatuh secara mendadak. Harga tiket akan kembali kepada sebelum pelaksanaan cukai 25 peratus dibuat kerana itu lebih berpatutan.

“Pelaksanaan cukai 25 peratus hanya dimulakan semenjak 2021 menyebabkan harga tiket sedikit lebih mahal untuk penganjur bayar cukai tersebut.

“Apabila kerajaan telah merombak semula jumlah cukai, harga tiket akan kembali menjadi seperti sebelum ini iaitu sebelum tahun 2021.

“Harga tiket tidak boleh dijual terlalu murah kerana kami perlu menampung banyak kos termasuk artis, pencahayaan, sistem bunyi dan tenaga kerja untuk sesuatu konsert,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN