KUALA LUMPUR : Terkesan dengan kata-kata Sharnaaz Ahmad, 38, pelakon senior, Azhar Sulaiman, 52, tidak menyangka aktor berkenaan berani merendahkan tahap intelektualnya berhubung isu pergolakan di bumi Palestin.
Menurut Azhar, komennya berhubung isu Palestin merujuk kepada persoalan strategi peperangan pejuang Hamas dalam menentang Israel dan bukannya perjuangan mereka.
“Kali ini adalah satu lagi episod siri peperangan yang panjang antara mereka (merujuk kepada Hamas dan Israel). Saya ikuti isu peperangan ini sejak kecil lagi dengan semua bahan bacaan dari Palestin.
“Sekarang, yang saya persoalkan adalah strategi dalam serangan kali ini. Kita jangan lupa orang-orang di sekeliling kita bila kita buat sesuatu ke jalan Allah dan fikir diri kita sendiri.
“Saya tetap dengan pandangan saya sendiri berkenaan isu ini,”katanya membalas kenyataan Sharnaaz selepas aktor berkenaan meninggalkan beberapa respons di ruangan komen akaun Instagram Azhar.
Sharnaaz dilihat tidak bersetuju dengan pandangan yang dilontarkan Azhar yang menyebut ketua Hamas tidak mempunyai kebijaksanaan seperti panglima perang Islam dahulu.
Selain itu, Azhar tidak menolak bahawa perjuangan yang dibawakan oleh Hamas sangat mulia cuma yang menjadi tanda tanya ialah bagaimana pemimpin mereka menjalankan strategi perang.
“Hamas merupakan sebuah organisasi Islam yang berjuang demi Palestin. Perjuangan mereka mulia tapi dalam masa yang sama, manusia yang menjadi pemimpin.
“Ada pemimpin bijak dan ada yang tidak. Jadi, serangan 5,000 roket kepada Israel ini apa strateginya? Cuma bom Israel dan tunggu serangan balas mereka dan bunuh orang-orang awam secara besar-besaran? Adakah ini taktik yang bijak?”katanya.
Dalam pada itu, pelakon filem Abang 92 dan Impian ini berkata, dia banyak mengikuti dan menonton program-program berkenaan Islamik dan lebih faham mengenai kehidupan.
“Anda semua kena menonton Filem Valley Of The Wolf terbitan Turki.Nanti anda akan lebih faham konflik di antara mereka,”katanya.
Terdahulu, Azhar dalam satu hantaran di Instagram memberi pandangan bahawa ketua Hamas tidak mempunyai kebijaksanaan seperti panglima perang Islam dahulu.
Azhar mempersoalkan tindakan lanjut pejuang Hamas dan strategi peperangan menentang Israel selepas gelombang pertama serangan dilakukan.
Bahkan, dia menyebut, pejuang Hamas wajar mengejar kematian syahid dengan kebijaksanaan dan bukan dengan kedangkalan atau bersikap mementingkan diri sehingga rakyat Palestin menjadi mangsa.
Pandangan itu turut menyaksikan Azhar diserang dengan pelbagai respons daripada pengikut dan pengguna Instagram.
Bagaimanapun, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, hantaran tersebut telah dipadamkan oleh Azhar hari ini, dipercayai selepas mendapat desakan daripada pengikut yang membantah.